PARIS – Didier Deschamps mempertahankan Kylian Mbappe selepas pemain itu dikritik hebat ekoran kekalahan mengejut 0-2 Perancis kepada Turki dalam aksi kelayakan Euro 2020.
Pengendali Les Blues itu menyatakan bahawa dia hanya sebahagian daripada 10 pemain yang melakukan kesilapan dalam perlawanan itu.
Dalam aksi itu, Kaan Ayhan dan Cengiz Under menjaringkan gol kemenangan Turki dan membuatkan Perancis kehilangan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan H kepada tuan rumah dalam aksi di Konya.
Mbappe menjadi sasaran utama kritikan selepas bintang Paris Saint-Germain (PSG) kehilangan bola sebanyak 22 kali dan berdepan kesukaran untuk melepasi Hassan Ali Kaldirim.
Perancis dijangka bangkit dalam pertemuan menentang Andorra, awal pagi esok dengan Mbappe berada dalam tekanan untuk menampilkan aksi cemerlang sekiranya diturunkan.
Deschamps menegaskan bahawa tiada apa yang perlu dibuktikan oleh seorang penyerang berbanding 10 pemain lain dengan penjaga gawang, Hugo Lloris kekal dengan reputasinya.
“Selain daripada Hugo Lloris, siapa pemain lain yang berada pada tahap yang sama di Turki? Pemain lain semua beraksi di bawah kemampuan sebenar.
“Media hanya menjadikan Kylian sebagai sasaran utama, tetapi secara keseluruhan, dia tidak beraksi dengan baik dan tidak banyak bergerak.
“Sebagai individu yang berani mengambil risiko, Kylian adalah yang terbaik tetapi dalam perlawanan ini dia gagal kerana banyak kali dia menerima bola dalam posisi yang salah.
“Tetapi saya tidak akan memberikan sebarang layanan istimewa kepadanya. Saya bercakap dengannya sama seperti pemain lain,” katanya.-AGENSI











