JOHOR BAHRU – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan kejadian kali kedua melibatkan pencemaran gas dan kimia sehingga menjejaskan kehidupan masyarakat terutama di Pasir Gudang.
Menurut bekas Menteri Besar Johor itu, apa yang berlaku itu menunjukkan kerajaan negeri tidak sedikit pun mengambil pengajaran daripada insiden yang berlaku pada Mac lalu, kejadian itu sudah cukup perit untuk menggambarkan keperluan kerajaan negeri bertindak pantas dan cekap.
Malah, katanya, wakil kerajaan sendiri iaitu Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim hari ini turut menyuarakan ketidakpuasan hati berhubung cara krisis berkenaan diuruskan, beliau sendiri ragu serta sangsi dengan bentuk tindakan yang diambil.
Tambahnya, Hassan kedengaran kecewa serta mual dengan sikap kerajaan negeri dan kerajaaan pusat berhubung isu tersebut.
“Setahu saya, kerajaan negeri sebelum ini ada meyakinkan orang awam bahawa mereka akan melihat perkara seperti itu secara serius dan akan ada prosedur
dan garis amalan yang diperkemas.
“Malah, apabila ada wakil pembangkang seperti saya sendiri memberikan cadangan, mereka pantas menjawab bahawa keadaan adalah di bawah kawalan dan memberi jaminan tragedi yang sama tidak akan dibiarkan berulang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Justeru, beliau mencadangkan supaya kerajaan negeri membuat kenyataan serta memberikan pendedahan segera berhubung apakah sebenarnya yang berlaku.
Pada masa sama, katanya, bagi mengelakkan kerisauan rakyat dan memastikan kejadian itu dapat ditangani segera, adalah lebih baik kerajaan negeri membentangkan pelan serta strategi untuk menguruskan krisis itu sekali gus tidak membiarkan perkara sebegitu menjadi satu kelaziman.
“Tindakan berlengah dan tidak bertindak dengan kadar segera ini hanya akan menyebabkan penduduk di Pasir Gudang semakin panik dan tertekan dengan
ketidaktentuan berhadapan dengan situasi ini tanpa ada sedikit pun maklumat dan tanggungjawab yang diambil daripada pihak kerajaan.
“Janganlah sekali lagi membiarkan masyarakat dalam kebingungan sedangkan mereka yang terpaksa menerima kesan langsungnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











