Debat: Firdaus Wong setuju berkompromi tuntutan Siti Kasim - Utusan Malaysia

Debat: Firdaus Wong setuju berkompromi tuntutan Siti Kasim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Jun – Pendakwah Islam Firdaus Wong Wai Hung bersetuju untuk berkompromi dengan beberapa tuntutan peguam Siti Kasim dalam menjayakan debat antara kedua-dua mereka.

Firdaus Wong dalam satu hantaran di Facebook hari ini berkata, beliau sendiri akan menghubungi Siti Kasim untuk berbincang mengenai persiapan debat berkenaan.

Bagaimanapun pendakwah Islam itu berkata, dia tidak bersetuju dengan tuntutan peguam tersebut untuk menukar program debat menjadi sesi sembang ‘kedai mamak’ menerusi FB Live.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Debat antara kami perlu dilakukan di dewan atau auditorium yang boleh memuatkan 300 orang dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

“Cik Siti Kasim boleh membawa penyokongnya yang celupar dalam media sosial dan diberikan peluang untuk bertanya soalan kepada saya face-to face sebagaimana cabaran Cik Siti Kasim terhadap saya,” kata Firdaus Wong.

Siti Kasim sebelum ini mengkritik Firdaus Wong kerana tidak berhubung secara langsung dengan beliau untuk membincangkan persiapan debat tersebut sebaliknya menggunakan seorang perantara untuk berkomunikasi dengan beliau.

Dalam hantaran di Facebook, Siti Kasim juga mahu agar sesi debat itu ditukar menjadi sesi perbualan antara beliau dan Firdaus Wong dalam suasana yang selesa dan tidak rasmi.

“Prinsip Islam yang mementingkan ketinggian adab dan akhlak tetap akan saya ikuti. Kita akan pastikan hujah dibalas hujah bukannya jeritan dan pekikan.

“Saya berharap Cik Siti Kasim tidak akan mengubah perjanjian atau berdolak-dalih lagi,” tulis Firdaus Wong.

Debat antara Firdaus Wong dan Siti Kasim dijadual berlangsung bulan depan namun tarikh sebenar belum ditetapkan.

Tiga tajuk dicadangkan iaitu ‘Dakwah Islam dikritik, kerja missionari Kristian didiamkan?’; ‘Dakwah kepada Orang Asli bercanggah dengan Perlembagaan dan undang-undang’ serta ‘Orang Asli dibantu atau dizalimi oleh institusi agama’.

Sebelum ini, Siti Kasim mencabar Firdaus Wong untuk berdebat melalui ruangan komen dalam hantaran yang ditulis oleh pendakwah Islam itu di Facebook berkaitan berita yang diterbitkan oleh National Evangelical Christian Fellowship of Malaysia (NEFC) mengenai misi pertubuhan itu terhadap masyarakat Orang Asli.

“Adakah Siti Kasim, PROHAM dan seangkatan akan mengkritik dan menghentam The National Evangelical Christian Fellowship NECF Malaysia sebagaimana mereka menghentam Jakim dan MAIK serta Majlis Agama Negeri lain yang berusaha berdakwah kepada Orang Asli yang termaktub sebagai hak Perlembagaan!” tulis Firdaus Wong.

Hantaran tersebut kemudiannya dijawab oleh Siti Kasim dalam ruangan komen.

“Firdaus, lets have a face to face debate if you want on this. I’m open to it. You game? (Firadus, jom kita berdebat secara bersemuka mengenai isu ini. Saya bersedia. Anda bersedia?).

“Isu debat mesti berkaitan mengenai hantaran ini. Tajuk debat akan dipersetujui kedua-dua pihak. Saya akan mesej anda butiran lain,” kata Siti Kasim.

Cabaran debat itu kemudiannya disahut dan dipersetujui oleh Firdaus Wong juga melalui media sosial.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini