TURIN – Media di Eropah melaporkan pemain pertahanan Ajax Amsterdam, Matthijs De Ligt memilih untuk menyertai Juventus pada musim panas akan datang.
Juara Serie A tersebut kini mendahului perlumbaan serta rundingan untuk mendapatkan De Ligt mengatasi Paris Saint-Germain dan Barcelona, namun persetujuan berkenaan hanyalah secara peribadi menerusi ejen pemain berusia 19 tahun berkenaan.
Dalam rundingan berkenaan, De Ligt mengemukakan permintaan gaji sebanyak £10.7 juta (RM56.40 juta) setahun termasuk bonus jika dia secara rasminya berhijrah ke Turin.
Nilai berkenaan meletakkannya sebagai pemain kedua yang bakal menerima bayaran tertinggi di belakang Cristiano Ronaldo jika kata sepakat diperoleh kedua-dua belah pihak.
Pada masa sama, difahamkan Juventus perlu melabur sebanyak £62 juta (RM326.82 juta) sebagai yuran perpindahan jika serius untuk mendapatkan khidmat pemain skuad antarabangsa Belanda tersebut.
Khidmat De Ligt mula menjadi rebutan selepas pemain berkenaan menjadi watak penting ketika pasukan menjuarai Liga Belanda serta memimpin Ajax mara ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.
De Ligt sebelum ini mengakui akan membuat keputusan terhadap masa depan kariernya setelah berakhir kempen Liga Negara-Negara Eropah selepas beberapa kelab menyatakan hasrat untuk mendapatkan khidmatnya.
Bagaimanapun, kini beliau difahamkan lebih memilih Juventus untuk mengharungi saingan musim hadapan. – Agensi











