THE HAGUE – Gergasi bola sepak Itali, Juventus bersedia membayar lebih 70 juta euro (RM330 juta) untuk mendapatkan tonggak pertahanan Belanda dan kapten Ajax, Matthijs de Ligt.
Menurut akhbar De Telegraaf hari ini, biarpun dikaitkan dengan gergasi bola sepak Perancis, Paris Saint-Germain (PSG), namun bek tengah berusia 19 tahun itu digoda dengan kontrak yang ‘sukar ditolak’, selain berpeluang berganding dengan bintang Portugal, Cristiano Ronaldo.
Spekulasi De Ligt akan ke Juventus mula tersebar selepas kamera televisyen merakamkan pemain itu secara berbual dengan Ronaldo sejurus selepas Portugal mengalahkan Belanda 1-0 dalam final Liga Negara-Negara, awal bulan ini.
Ketika ditanya oleh penyiar Belanda, NOS apakah Ronaldo ada bertanya kepadanya tentang perpindahan ke Juventus, De Ligt membalas: “Mungkin, ya.
“Pada mulanya saya tidak faham apa yang cuba disampaikan, saya sedikit terkejut dan hanya tergela. Saya tidak membalas apa-apa,” kata De Ligt.
Seandainya memilih untuk menyertai Juventus, De Ligt dijangka menerima pendapatan antara 15 hingga 20 juta euro (RM71 hingga 95 juta euro). – AFP











