IPOH – DAP Perak menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung desakan Pas agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghapuskan sistem pendidikan vernakular di negara ini.
Setiausaha Publisiti DAP Perak, Chong Zhemin berkata, tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap ucapan oleh wakil Dewan Muslimat Pas itu pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-65 di Kuantan, Pahang semalam.
Katanya, siasatan terhadap ucapan itu juga perlu dilakukan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.
“Pihak polis diminta mengambil tindakan dengan menyiasat sama ada ucapan yang dibuat oleh Perwakilan Muslimat PAS itu telah melanggar Perlembagaan Persekutuan fasal 152 (1)(a) dan fasal 152 (1)(b).
“Ini kerana menurut fasal 152 (1)(a), tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi) atau daripada mengajarkan atau belajar apa-apa bahasa lain.
“Bagi fasal 152 (1)(b) pula, tiada apa-apa jua dalam fasal itu boleh menjejaskan hak kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana kerajaan negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, laporan telah dibuat pihaknya di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar bagi membolehkan siasatan lanjut mengenai perkara itu dijalankan.
Pas menerusi wakil Dewan Muslimatnya, Salamiah Md. Nor dilaporkan berkata, kerajaan PH didesak untuk menghapuskan sistem pendidikan vernakular di negara ini kerana dasar berkenaan tidak menyumbang kepada perpaduan kaum.- UTUSAN ONLINE











