KUALA LUMPUR – Dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diterima oleh tiga kumpulan terdiri daripada pemberita akhbar berbahasa Cina di Pulau Pinang didakwa menjadi punca mempengaruhi laporan berita mereka semasa Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri negeri berkenaan.
Guan Eng yang kini Menteri Kewangan berkata, tindakan pengamal media itu tidak menghairankan kerana mereka sering `menyerangnya’ dalam laporan berita.
Jelas Guan Eng, akibat tentangan itu juga menyebabkan pergaduhan antara beliau dan pemberita akhbar terlibat.
Berita berkaitan:
Ahli Parlimen Bagan itu turut mengakui, ada masanya pernah berasa akan kalah pada pilihan raya umum kerana laporan negatif akhbar Cina terhadapnya.
“Jika kamu terima wang (daripada 1MDB), bagaimana laporan kamu akan neutral? Ia masa sukar bagi saya. Saya fikir akan kalah angkara laporan akhbar berbahasa Cina.
“Tetapi saya sabar dan rakyat mempercayai saya, bukan pemberita dan akhbar tertentu. Hari ini laporan mereka lebih baik dan lebih adil. Kita perlu `membersihkan’ industri akhbar. Mereka mesti bebas kerana merupakan cabang keempat kerajaan,” jelas laporan Free Malaysia Today (FMT) hari ini.
Terdahulu, memetik laporan Bernama, Guan Eng berkata, tiga persatuan wartawan dan jurugambar di Pulau Pinang yang didakwa menerima dana yang mempunyai kaitan dengan 1MDB boleh menghubungi Kementerian Kewangan untuk mengembalikan dana berkenaan.
Katanya, mereka boleh menghubungi kementerian itu bagi mendapatkan maklumat mengenai proses pemulangan wang tersebut.
Pada 25 Jun lalu, Guan Eng memaklumkan selain 41 senarai didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, terdapat beberapa lagi kesatuan, persatuan dan individu yang turut menerima sumbangan dana 1MDB berdasarkan senarai yang ada pada Kementerian Kewangan.
Ujarnya, ia termasuk persatuan wartawan dan jurugambar di Pulau Pinang yang merupakan antara pihak yang dikenal pasti turut menerima dana berkenaan. – UTUSAN ONLINE











