SEREMBAN – Kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa Sarawak akan muflis dalam masa tiga tahun bermotifkan politik dan tidak sepatutnya keluar dari mulut menteri dalam kerajaan.
Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias berkata, kata-kata daripada Menteri Kewangan akan memberi kesan kepada ekonomi dan seharusnya beliau berhati-hati dalam membuat kenyataan.
“Saya difahamkan, pihak kementerian membuat kenyataan tersebut hanya mengukur pendapatan kerajaan negeri melalui Belanjawan 2019 tanpa mengira pendapatan yang lain.
“Selain itu kerajaan negeri Sarawak juga menerima pengiktirafan Ketua Audit Negara selama 17 tahun berturut-turut.
“Umum juga mengetahui Sarawak kaya dengan hasil bumi selain memperoleh pendapatan lain mencecah RM110 juta. Menurut laporan, negeri itu merupakan pengeluar gas asli terbesar di Malaysia dengan rizab negara sebanyak 52.7 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Guan Eng ketika menghadiri majlis makan malam anjuran DAP Sarawak di Kuching pada Jumaat lalu berkata, Sarawak mungkin muflis dalam tempoh tiga tahun lagi.
Menurut beliau, dengan belanjawan tahunan sebanyak RM11 bilion, rizab RM30 bilion Sarawak akan habis dalam masa tiga tahun.
Katanya, Sarawak mungkin mengalami nasib seperti Kelantan apabila kerajaan negeri itu tidak mampu membayar gaji kakitangannya kerana pentadbiran yang lemah.
Jalaluddin yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, beliau bimbang kenyataan Guan Eng hanya bermotifkan politik walhal beliau tidak sedar kesannya kepada ekonomi negara.
“Tidakkah beliau bimbang, dengan kata-kata mendakwa kerajaan negeri akan muflis hanya akan mengurangkan keyakinan pelabur,” katanya. -UTUSAN ONLINE











