SANDAKAN – seorang remaja lelaki berumur 16 tahun ditahan kerana memiliki kira-kira lima gram dadah jenis syabu dalam satu operasi pencegahan jenayah kira-kira 5 petang di sebuah bangunan kedai di Taman Merpati, Batu 7 di sini semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Hamin berkata, suspek ditahan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan ketika diperiksa.
“Hasil pemeriksaan menemukan lapan peket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu, dalam poket seluar suspek,” katanya.
Tambahnya, suspek turut positif dadah jenis methamphetamine dan disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah disyaki untuk mengedar dan Seksyen 15(1) akta yang sama kerana mengambil dadah. – BERNAMA











