Dadah: Kerajaan negeri akan bincang dengan Pusat - Utusan Malaysia

Dadah: Kerajaan negeri akan bincang dengan Pusat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Pusat berhubung cadangan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu menempatkan pasukan tentera di Pulau Langkawi bagi menangani isu dadah.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, biarpun belum mendapat maklumat lengkap berkenaan perkara itu, cadangan tersebut akan dibincang secara lebih terperinci dengan pihak berkaitan.

Menurutnya, beberapa zon panas yang dipercayai menjadi lubuk dadah di pulau pelancongan itu juga dikesan, selain mengalami beberapa masalah sosial yang lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya belum lagi mendapat maklumat mengenai penglibatan pihak tentera dalam hal ini, sekiranya ada cadangan seperti itu daripada Perdana Menteri, kita akan bincang

“Apa yang saya faham mungkin Tun (Dr. Mahathir) mahu selesaikan masalah ini secara sekaligus (kerana) beliau tidak mahu lagi timbul isu-isu seperti ini di Langkawi yang merupakan pusat pelancongan,” katanya selepas melancarkan Kilang Mixer 5 Continental, di sini hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir berkata, Langkawi memerlukan sebuah pasukan tentera yang besar untuk menjaga keseluruhan kawasan pantai, berikutan polis dan agensi penguat kuasa lain tidak mampu menjaga keselamatan pantai terutamanya aktiviti penyeludupan dadah.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata, kerajaan negeri sedia maklum mengenai aktiviti tidak sihat di Bukit Malut dan sudah mengambil langkah awal tanpa menghebahkannya kepada umum.

“Kita sudah berbincang secara dalaman mengenai isu di Bukit Malut ini sejak sekian lama, banyak masalah di Langkawi tertumpu di situ seperti dadah, penyeludupan dan pelbagai lagi.

“Namun, kita akan mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan Majllis Keselamatan Negara (MKN) yang bertanggungjawab terhadap komuniti di situ,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini