Cukup hanya tiga - Linda Hashim - Utusan Malaysia

Cukup hanya tiga – Linda Hashim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setelah melahirkan anak ketiga April lalu, pelakon Linda Hashim atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 34, mengaku jumlah itu sudah cukup baginya kerana lebih selesa memfokus kepada kerjaya lakonan dan bisnes.

Isteri kepada pelakon Beego ini menganggap tiga anak sudah cukup kerana dia sendiri mempunyai tiga adik-beradik. 

“Saya baru sahaja habis pantang. Jadi buat masa ini ‘kilang’ sudah tutup,” katanya berseloroh ketika ditemui HITS baru-baru ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi Linda, memandangkan adik beradiknya tidak ramai dan Beego pula hanya mempunyai dua beradik, secara tidak langsung dia selesa dengan jumlah anak yang tidak ramai.

“Lain pula kalau tanya Beego, dia mahu anak ramai. Mungkin inilah cara untuk ‘memecah rekod’ kedua-dua keluarga kami. Apa-apa pun kami hanya merancang, hakikatnya Tuhan yang menentukan. Buat masa ini memang fokus kepada tiga anak dahulu.

“Memang anak adalah rezeki dan saya tidak pernah menyangkalnya. Namun kita sendiri perlu bijak merancang ekonomi keluarga. Tambah pula negara sedang mengalami masalah ekonomi yang turut memberi kesan kepada seluruh masyarakat termasuk golongan artis.

“Jadi perancangan itu perlu kerana setiap anak memerlukan kos tersendiri terutama ketika mereka mahu melangkah ke alam persekolahan. Mahu atau tidak, kos ini perlu dirancang agar anak-anak tidak terjejas pada masa depan,” luah Linda yang melahirkan puteri ketiga diberi nama Indah Anggun Jelita.

Sebelum ini pasangan pelakon ini dikurniakan dua orang anak perempuan iaitu Jelita Clarissa, 5, dan Anggun Cassandra, 4.

“Sekarang adalah masa untuk saya dan suami fokus kerjaya serta memperkukuh ekonomi rumah tangga. Biarlah kami fokus kepada tiga orang anak. Buat masa ini mereka memerlukan tumpuan yang lebih untuk membesar,” jelas Linda lagi.

Jaga badan

Mengikut perancangan, Linda dijangka kembali berlakon apabila bayinya berusia lapan bulan. Dia juga mengambil peluang tersebut untuk menurunkan berat badan.

“Semasa dalam tempoh pantang saya amalkan pantang tradisional dan kebanyakannya saya buat sendiri. Misalnya bertungku, bertangas, mandi rempah dan sebagainya.

“Semua ini saya belajar daripada pengalaman berpantang selepas melahirkan anak pertama dan kedua. Malah saya tetap lakukannya pada hari biasa demi kesihatan,” ujar Linda.

Kata pelakon ini, amalan penjagaan diri mengikut kaedah tradisional itu dikekalkan kerana mahu mengembalikan bentuk tubuh asal dan membawa banyak kebaikan untuk kesihatan dalaman.

“Ia bagus untuk jangka masa lama.

Badan kita nak guna lama, jadi berpantang  boleh mengekalkan kesihatan dalaman seseorang wanita. Jadi kepada wanita di luar sana, jangan pandang remeh tentang amalan berpantang ini.

“Antara kaedah yang saya terus amalkan ialah menjaga pemakanan seperti tidak minum ais, elakkan makanan yang boleh menyebabkan angin dalam badan dan berdiet untuk elak tubuh jadi gemuk. Kadang-kadang saya juga bertangas sendiri di rumah.

“Bila jadi artis, peminat mahu lihat kita cantik sentiasa. Walaupun ia agak perit, tapi itu hakikat yang harus diterima. Mahu atau tidak saya kenalah gigih untuk kelihatan cantik,” kata Linda.

Teruskan bisnes

Dalam lakonan pasti ada pasang surutnya. Ditambah pula dengan kebanjiran ramai pelakon baharu yang hadir dengan pakej lengkap dan menjadi pilihan stesen televisyen serta rebutan pengarah.

“Saya dan Beego sedar dunia artis ada naik dan turunnya. Tidak selamanya kita diterima sebagai pelakon. Jadi, dalam hidup ini kena ada perancangan lain.

“Di samping terus aktif berlakon, kami sudah lakukan bermacam-macam bisnes seperti jual jamu lelaki, makanan, pakaian dan produk. Beego pula sering diambil sebagai konsultan untuk sesebuah syarikat.

“Sebenarnya semua bisnes boleh kekal cuma bergantung kepada cara kita sahaja yang akan menentukan sama ada bisnes itu kekal atau tidak.

“Bagi saya paling penting adalah menjaga pekerja kerana yang bekerja adalah mereka. Mereka tulang belakang bagi kami,” tambahnya.

Sebelum ini Linda sudah banyak berlakon drama antaranya adalah Duranni, Halimah Jongang 3, Tudung Ekspres, Ayahku Kahwin Lagi, Cinta Batu Belah, Dua Hati dan turut terlibat dalam filem Tanda Putera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini