SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup 5,255 ekor anak kura-kura jenis Red Ear Slider bernilai RM52,550, Khamis lalu.
Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, suspek yang merupakan dua lelaki warganegara India itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sejurus tiba dari Guangzhou, China menerusi penerbangan Air Asia AK113.
“Pemeriksaan terhadap suspek pertama iaitu lelaki berumur 30 tahun menemukan 16 bakul kecil berisi 2,620 ekor anak kura-kura jenis Red Ear Slider bernilai RM26,200 yang disorokkan didalam bagasi.
“Pemeriksaan terhadap suspek kedua berumur 42 tahun pula menemukan 2,635 ekor anak kura-kura jenis sama bernilai RM26,350 yang diletakkan di dalam 16 bakul kecil, juga dalam bagasi,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Zulkurnain berkata, sebahagian anak kura-kura didapati telah mati ketika dalam perjalanan akibat tiada makanan dan minuman manakala yang masih hidup akan dihantar ke Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut.
Katanya, kedua-dua suspek kini ditaham reman di Mahkamah Majistret Sepang selama 14 hari untuk siasatan lanjut dan akan dituduh dalam masa terdekat.
“Kita percaya mereka menjadikan negara ini sebagai transit sebelum anak kura-kura itu dibawa ke India semula untuk diternak di sana,” katanya. – UTUSAN ONLINE











