SENGSARANYA! Mungkin itulah dalam fikiran majoriti pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sepanjang seminggu cuti Aidilfitri. Jumlah trafik tinggi memungkinkan ribuan kenderaan terpaksa bergerak perlahan. Penulis sendiri merupakan antara pengguna yang terpaksa meredah kesesakan lebih 12 jam apabila bertolak pulang ke Shah Alam dari Alor Setar pada hari raya kedua. Tetapi apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Sepanjang perjalanan termasuk terpaksa ‘melarikan diri’ seketika menggunakan jalan persekutuan dari Sungai Petani ke Sungai Dua, Butterworth sebelum kembali semula menyambung perjalanan di lebuh raya PLUS, bermacam-macam bermain di fikiran dan gelagat dapat diperhatikan.
Berikut antara perkara yang sempat penulis ‘rakamkan’ untuk ruangan kali ini;
l Sampai bila redah kesesakan
Penulis memahami pengurusan PLUS sudah melakukan yang terbaik bagi mengelakkan kesesakan berlaku. Pada Aidilfitri kali ini, jumlah pengguna kenderaan di lebuh raya PLUS meningkat berikutan diskaun tol sebanyak 20 peratus.
Terima kasih kepada PLUS kerana memberikan diskaun tersebut tetapi pada masa sama sesuatu perlu difikirkan bagaimana kesesakan boleh terus diatasi. Mungkin juga satu kajian komprehensif perlu dilakukan supaya di sesetengah kawasan jumlah laluan ditambah daripada dua lorong kepada tiga lorong.
Bukanlah penulis tidak menghargai apatah lagi tidak bersyukur dengan pemberian diskaun tersebut, tetapi apalah gunanya wang boleh dijimatkan untuk membayar tol tetapi terpaksa menampung kos minyak pula.
lTabahnya penunggang motosikal
Ketika bertolak pulang ke Kedah, pada malam hari raya pertama, penulis melihat ketabahan penunggang-penunggang motosikal yang sanggup meredah hujan lebat demi untuk berhari raya bersama ahli keluarga. Biarpun basah kuyup dan terpaksa berhati-hati namun wajah mereka tetap ceria. Alhamdulillah sepanjang perjalanan penulis tidak terserempak dengan ‘mat rempit’ yang cuba tunjuk ‘lagak bodoh’ di lebuh raya.
Mungkin PLUS boleh memikirkan mewujudkan lebih banyak tempat berlindung atau istirehat untuk penunggang-penunggang motosikal.
l “Hantu raya’ di lorong kecemasan
Walaupun sudah diingatkan berkali-kali termasuk diberi amaran akan dikenakan kompaun maksimum. Namun masih ada pemandu degil apabila menggunakan lorong kecemasan. Sepanjang perjalanan dari Alor Setar ke Shah Alam, penulis melihat gelagat pemandu seumpama itu yang ibarat seperti ‘hantu raya’ tidak bertuan.
Tidak kiralah siapapun mereka, selagi tidak ada situasi dikategorikan kecemasan, mereka tidak berhak menggunakan laluan berkenaan. Akibat kedegilan dan kejahilan mereka untuk tidak mematuhi undang-undang, ada antaranya terlibat dalam kemalangan.
Sememangnya mustahil untuk kita meletakkan pihak polis sepanjang lebuh raya untuk mengenakan saman ke atas pemandu degil tersebut tetapi pemandu itu sendiri perlu sedar perbuatan mereka adalah bahaya, satu hari kelak ia pasti mendatangkan padah.
l Dedikasi PLUS Ronda, pasukan keselamatan
Turut menarik perhatian penulis ialah bagaimana pantasnya, anggota PLUS Ronda bertindak mengawal lalu lintas apabila berlaku sesuatu kemalangan atau kerosakan kenderaan. Contohnya tidak sampai 10 minit apabila PLUS melalui laman Twitter memaklumkan kepada pengguna ada kemalangan berlaku, penulis terserempak pasukan rondanya sudah bergerak ke lokasi kejadian.
Kehadiran mereka banyak membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya di lokasi kemalangan atau kenderaan menghadapi kerosakan termasuk tayar pancit. Petugas-petugas PLUS Ronda tekun melaksanakan tugas mereka biarpun dalam keadaan apa sekalipun.
Komitmen sama turut ditunjukkan oleh anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Rela. Pengorbanan yang mereka lakukan amat besar ketika orang lain berhari raya bersama ahli keluarga. Tindakan pantas mereka bukan sahaja mampu mengawal keadaan tetapi juga menyelamatkan mangsa-mangsa yang terlibat kemalangan. Begitu juga dengan kegigihan anggota-anggota Rela yang mengawal lalu lintas di hentian rehat dan rawat serta hentian sebelah. Biarpun terpaksa menghadapi kerenah pemandu-pemandu namun mereka tetap sabar mengawal lalu lintas.
l Ciapan Twitter hiburkan hati
Bagaimanapun dalam keadaan berhadapan kesesakan lalu lintas, ciapan oleh pengguna-pengguna lebuh raya PLUS dalam Twitter ada kalanya mampu mengurangkan ketegangan fikiran.
Pelbagai ciapan mereka zahirkan melalui akaun Twitter PLUSLINE. Anak penulis membaca ciapan-ciapan tersebut yang kadang kala menyebabkan penulis ketawa besar. Antaranya yang mencuit hati ialah ciapan seperti, “jalan jem, jom kita bersilaturahim di lebuh raya, salam aidilfitri”, “sapa ada rokok, minta sebatang rokok aku dah habis”, “jalan jem…lapar…siapa bawa kuih raya bagi sikit” dan pelbagai komen lagi.
Pada masa sama, ada juga pengguna yang bertanyakan kepada PLUS berhubung situasi terkini lebuh raya dan menghantar gambar kereta yang menggunakan laluan kecemasan.
Itulah antara coretan penulis sepanjang 12 jam meredah kesesakan di lebuh raya PLUS untuk kembali ke Shah Alam dari Alor Setar. Biarpun hanya tiba di rumah pada pukul 2 pagi, namun penulis tetap bersyukur kerana selamat sampai ke destinasi. Apapun semua itu adalah pengalaman dan kenangan di Aidilfitri 2019.
SALAM AIDILFITRI, MAAF ZAHIR BATIN.











