KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menafikan penyebaran status menerusi ciapan di Twitter yang mendakwa individu yang ditaja melaksanakan ibadah haji oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dari 2011 hingga 2018 perlu membayar balik wang berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dalam akaun Twitter miliknya turut memuat naik tangkapan skrin gambar tersebar di laman sosial menyangkal status itu.
“Ini adalah palsu,” katanya menerusi ciapan di Twitternya.
Tular di laman sosial sejak semalam mengenai para jemaah haji ditaja guna wang curi dari IMDB sejak 2011 hingga 2018, diminta memulangkan semula wang itu dalam tempoh 3 bulan bermula hari ini atau mereka akan berdepan tindakan
Ciapan palsu tersebut telah dimuat naik menerusi Twitter sejak kira-kira pukul 7 malam semalam.-UTUSAN ONLINE











