Ceroboh hutan simpan, tanam pokok getah - Utusan Malaysia

Ceroboh hutan simpan, tanam pokok getah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP – Seorang lelaki bersama-sama dua orang pekerja upahannya yang leka membersihkan kawasan sebuah hutan simpan kekal secara haram terkedu apabila mereka diserbu Jabatan Perhutanan negeri di Pedu, di sini hari ini.

Ketiga-tiga mereka yang berusia 36 hingga 57 tahun itu yang sedang leka menebang dan meratakan tanah secara haram dipercayai mahu menanam pokok getah di Kompartmen 36 Hutan Simpan Padang Terap sejak seminggu lalu.

Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Roslan Rani berkata, ketiga-tiga mereka ditahan oleh sepasukan unit penguatkuasaan jabatan itu kira-kira pukul 11.30 pagi ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, kawasan yang diceroboh tersebut dianggarkan berkeluasan kira-kira lima hektar dengan nilai kerugian mencecah RM500,000.

“Kita turut merampas sebuah jentolak dan dua gergaji berenjin yang digunakan bagi aktiviti berkenaan. Berdasarkan siasatan awal mereka dipercayai melakukan penerokaan bagi menanam pokok getah di kawasan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Roslan berkata, ketiga-tiga lelaki terbabit kemudian dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 81(1)(b) Akta Perhutanan Negara 1985 kerana menebang pokok yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 81(1)(g) kerana menceroboh hutan kekal dan Seksyen 47(1) akta yang sama iaitu memasuki hutan tanpa kebenaran yang boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

“Selain itu, siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 50(1) kerana menggunakan kenderaan bermotor di dalam hutan yang jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini