Sejak akhir-akhir ini, isu dan gejala yang tidak sihat semakin menular dalam masyarakat. Antara isu yang hangat diperkatakan adalah hubungan cinta sejenis. Kewujudan fenomena lesbian, gay, biseksual dan transgender atau lebih dikenali sebagai LGBT ini amat membimbangkan dan mempunyai hubung kait dengan perilaku seks atau orientasi seksual seseorang individu.
Lebih membimbangkan, Bahagian Kawalan Penyakit pada 2017 menunjukkan sebanyak 1,697 individu yang mengamalkan seks songsang seperti homoseksual dan biseksual adalah sebahagian daripada 3,347 kes penghidap HIV baharu. Golongan LGBT ialah kumpulan tertinggi dijangkiti HIV, mewakili kira-kira 50 peratus kes baharu yang dilaporkan sepanjang 2017.
Laporan itu turut mendedahkan jumlah berkenaan adalah 14 kali ganda lebih tinggi berbanding individu yang dijangkiti HIV akibat menagih dadah melalui perkongsian jarum suntikan. Rata-rata masyarakat maklum penyebaran virus HIV sering dikaitkan dengan perkongsian jarum suntikan dadah, namun statistik terkini menunjukkan golongan LGBT pula mengambil alih mereka yang tertinggi menghidap HIV.
Persoalannya, sebagai ahli masyarakat adakah kita hanya sekadar menerima statistik peningkatan kes HIV ini tanpa mempersoalkan rasional dan punca perubahan cara penularan virus berkenaan? Apakah yang perlu dilakukan untuk menyedarkan pelbagai pihak dan kelompok masyarakat akan bahaya penularan virus ini yang sangat berkait rapat dengan gaya hidup songsang dan tabiat seksual di luar tabii?
Menurut Kaunselor Berdaftar, Hushim Salleh dari firma Hushim Motivational & Counselling Consultancy (HMCC), peningkatan LGBT banyak dipengaruhi oleh latar belakang seseorang itu pada zaman kanak-kanak lagi. Dalam kes-kes tertentu seperti gay dan biseksual, ibu bapa sendiri tidak menyedari masalah ini apabila anak-anak mereka mungkin pernah diliwat di sekolah, oleh senior di asrama dan lebih teruk lagi oleh keluarga atau guru mereka.

Tambah Hushim, jika transgender, fizikal mereka lelaki tetapi perasaan dan keinginan mereka lebih bersifat kewanitaan. Umumnya, ramai yang menukar penampilan kepada wanita dan masyarakat boleh lihat dengan jelas. Namun, masalah yang kian membimbangkan pada hari ini ialah golongan gay dan biseksual. Golongan gay yang mempunyai naluri seks terhadap lelaki manakala biseksual iaitu golongan lelaki yang mempunyai naluri seks terhadap wanita dan dalam masa sama terhadap lelaki.
Peningkatan golongan biseksual amat membimbangkan kerana kebanyakan mereka sudah berkahwin dan ada yang mempunyai anak tetapi masih melakukan hubungan seks di luar tabii.
“Kalau ibu bapa hari ini merasakan, mempunyai anak lelaki lebih selamat berbanding anak perempuan, ia meleset sama sekali. Kebarangkalian anak-anak lelaki hari ini terjebak ke dalam kancah gaya hidup songsang sangat tinggi jika kita tidak peka dengan perubahan sikap anak-anak. Lebih teruk, berdasarkan kes yang saya kendalikan memang benar sekolah berasrama merupakan permulaan kepada penularan budaya songsang. Sekolah pondok dan agama juga tidak terkecuali,” jelasnya.
Walaupun golongan ini dilihat seperti mempunyai jiwa kacau, mereka sebenarnya bukan dikategori mengalami penyakit mental. Sebaliknya, mereka ketagihan sama seperti orang yang ketagihan dadah.
“Mereka boleh jadi sesiapa sahaja sama ada golongan profesional, pekerja biasa atau pelajar. Minta maaf cakap kerana daripada pengalaman saya mengendalikan kes, orang agama sendiri terlibat sebagai gay. Mereka ini golongan split identity, maknanya sebelah pagi dia boleh jadi imam kemudian tengah hari meliwat orang. Pengetahuan agama tidak cukup jika tiada iman, sebaliknya kelebihan ilmu agama itu diguna untuk mengaburi mata orang ramai.
“Amalan dilaknat ini berlaku kerana tabiat. Mereka yang terjebak seronok dengan kenikmatan luar tabii berbanding hubungan seks dengan isteri. Sebab itu Allah melarang perbuatan ini dalam al-Quran kerana jika seseorang sudah terjebak, gay dan biseksual ini umpama ketagih dadah. Mereka menjadi ketagih walaupun sudah beristeri,” katanya.
Mengulas tentang pemulihan, sebagai kaunselor, Hushim akan memberikan kaunseling diikuti pemulihan. Katanya, ramai klien yang mempunyai masalah transgender berjumpa dengannya untuk berubah sama ada kerana tuntutan kerjaya atau timbulnya rasa insaf. Kebanyakan akan berasa insaf pada usia matang iaitu 40-an. Sebagai umat Islam, Hushim juga akan menerapkan aspek kaunseling Islam.
Tambah Hushim, kerajaan perlu meletakkan masalah ini sebagai keutamaan kerana selain memporak peranda sistem kekeluargaan, masalah ini juga mengancam kedudukan Islam. Usaha ini bukan sahaja melibatkan proses pemulihan, Hushim turut merangka langkah penyuburan dan pencegahan.
“Bagi saya kerajaan perlu buat satu modul bagi menghalang LGBT habis-habisan di peringkat sekolah rendah lagi. Selain itu, yang paling bahaya adalah ketika di peringkat sekolah menengah sebab mereka ini akan pergi ke universiti. Saya cakap terus-terang, di universiti sudah ramai golongan ini. Satu langkah yang konsisten perlu dilakukan seperti mana yang dibuat khusus untuk pemulihan dan pencegahan dadah,” katanya.











