KUALA LUMPUR 11 Jun – Bursa Malaysia meneruskan aliran meningkatnya apabila dibuka lebih tinggi pagi ini, disokong oleh sentimen positif dalam pasaran.
Pada 9.06 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 1.22 mata kepada 1,656.69 berbanding 1,655.47 pada 5 petang Isnin.
Indeks dibuka 0.33 mata lebih tinggi kepada 1,655.80.
Kedudukan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 125 berbanding 52, manakala 191 kaunter tidak berubah, 1,519 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 107.57 juta bernilai RM49.52 juta.
Malacca Securities Sdn. Bhd. berkata terdapat beberapa tahap kestabilan dalam pasaran, yang disokong oleh pertikaian perdagangan yang semakin reda, selain potensi dasar monetari kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang akan terus memberi sokongan.
“Berdasarkan sentimen pasaran jangka pendek yang lebih tenang, kami menjangkakan peningkatan secara menyeluruh di kaunter saham berharga rendah secara bergilir-gilir dalam tempoh terdekat, selain aktiviti dagangan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata unjuran keseluruhan masih suram ekoran perang tarif AS-China yang masih belum selesai, yang masih merupakan halangan terbesar yang akan terus menjejaskan sentimen.
Ia berkata Bursa Malaysia kekal dalam kedudukan terlebih beli, dan ini mungkin akan menjejaskan potensi peningkatan dalam tempoh terdekat.
“Oleh itu, kami menjangkakan peningkatan kekal sederhana dengan belian secara terpilih selepas peningkatan kukuh yang menyaksikan indeks utama meningkat hampir lima peratus daripada paras terendahnya 1,580 mata sebulan lepas.
“FBM KLCI kini boleh menguji paras 1,657-1,660, sebelum melepasi tahap 1,673, dengan tahap sokongan masing-masing pada 1,650 dan 1,644 mata,” katanya. – BERNAMA











