JURAIAN air mata menemani sesi pertemuan di antara aktres Nabila Huda bersama bapanya, penyanyi rock terkenal Amy Search baru-baru ini.
Kemelut yang melanda keluarga seni ini mendapat perhatian umum apabila Nabila atau mesra disapa sebagai Abil lantang membidas perilaku ibu tirinya, Norhasniza Hassan atau lebih dikenali sebagai Nourish dalam laman sosial.
Enggan lagi terus bersengketa, keegoan yang menguasai dirinya selama hampir tiga tahun dibuang membuatkan pelakon drama Balqis itu menundukkan rasa amarah yang menguasainya sebelum ini.

“Ini semua doa daripada orang terdekat dan peminat saya yang mahu melihat kami berbaik semula sebagai satu keluarga harmoni.
“Beberapa hari sebelum pertemuan penuh emosi itu, ibu tiri memang ada hantar mesej dan meminta maaf terhadap apa yang berlaku selama ini.
“Ada mesejnya yang membuatkan saya terfikir sejenak, kenapa hanya nampak kejahatan sahaja padahal banyak kebaikan yang pernah dia lakukan kepada saya sebelum ini.
“Secara automatik saya terus berfikir. Ya, apa yang berlaku memang menyakitkan tetapi perkara sudah pun berlalu. Perkara itu secara tak langsung memberi kesan negatif kepada diri saya sendiri kalau berterusan fikir kejahatan orang lain,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar Muzikal Lawak Superstar yang diadakan di sebuah kelab, Isnin lalu.
Berkongsi lanjut tentang sesi perjumpaan tersebut yang diatur oleh Erma Fatima, Abil akui hatinya berdebar-debar ekoran sudah lama tidak bertentang mata dengan bapanya.
“Bila saya sampai dan nampak sosok tubuh papa, saya rasa gementar dan tanpa berfikir terus mengucapkan selamat hari raya kepadanya.
“Kami saling berpelukan dengan diiringi air mata. Malah, ada lagi beberapa adegan drama yang berlaku.
“Anak saya Keisha Laila pun peluk cium kerana terlalu rindu tak berjumpa datuknya sejak bertahun-tahun.
“Senyuman papa sangat luar biasa dan tak ternilai saat kami saling berpelukan. Saya kata pada dia, sudah-sudahlah dengan apa yang terjadi.
“Walaupun saya sudah berkahwin, ada keluarga sendiri tetapi ia tak lengkap kerana ada keluarga berjauh hati dengan kami,” luahnya.
Dalam pada itu, Abil turut memohon warganet tidak lagi terus menjatuhkan hukuman kepada ibu tirinya. Harapannya cuma satu agar mereka mendoakan yang terbaik demi ikatan kekeluargaan yang baharu terjalin semula.
“Sekarang semua sudah selesai dan tamat. Papa dan mommy (ibu tiri) sudah saling meminta maaf, begitu juga saya.
“Harapnya orang luar berhenti kecam dia (ibu tiri) sebab tindakan saya telah membuatkan dia mendapat kecaman paling besar termasuk daripada keluarganya sendiri.
“Kalau saya boleh memaafkan, rasanya anda semua pun boleh buat perkara yang sama. Saya berdoa hendak terus hidup di sisi papa sehingga hembusan nafasnya yang terakhir. Harap anda semua terus mendoakan kami,” katanya.











