Bolehkah hibah dicabar? - Utusan Malaysia

Bolehkah hibah dicabar?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai juga yang tanya saya soalan ini. Bolehkah sesuatu hibah yang telah disempurnakan itu dicabar kesahihannya? Apa jaminan hibah itu tidak boleh dicabar?

Jawapan saya ialah ‘Ya’ hibah itu boleh dicabar sekiranya ada pihak berkepentingan tidak berpuas hati dengannya.

Pihak berkepentingan di sini bermaksud mana-mana pihak lain berkaitan dengan harta contohnya pihak yang sepatutnya menerima harta pusaka mengikut hukum faraid.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katalah si ayah atas sebab dan niat tertentu yang hanya diketahui olehnya, telah menghibah­kan rumahnya kepada anak sulung sahaja sedangkan dia mempunyai isteri dan dua anak yang lain.

Boleh sahaja isteri dan dua anak itu yang tidak berpuas hati mencabar hibah dilakukan oleh ayah di Mahkamah Syariah (kena ingat bahawa bidang kuasa pengesahan hibah ialah di Mahkamah Syariah dan bukan Mahkamah Sivil).

Proses di Mahkamah Syariah

Mahkamah Syariah akan mendengar hujah pihak-pihak di atas sebelum membuat keputusan sama ada hibah itu sah atau tidak berdasarkan undang-undang dan hukum syarak.

Namun, sekiranya hibah itu disediakan secara bertulis dan sempurna rukun dan syaratnya serta bersaksi, kemungkinan sangat besar, hibah itu akan disahkan. Bila ini berlaku maka penerima hibah sah menerima harta yang dihibah.

Sebab itu saya selalu menekankan adalah sangat penting bagi umat Islam memastikan bahawa pihak yang menyediakan hibah ini adalah pihak profesional yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman seperti syarikat amanah dan peguam syarie.

Syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad mi­salnya adalah bersifat berpanjangan (perpetuity) yang terikat kuat dengan Akta Pemegang Amanah 1949 yang bermakna jika dokumen hibah ini dicabar pada masa hadapan, Wasiyyah Shoppe Berhad masih berada di situ untuk membantu pene­rima hibah melalui proses di Mahkamah Syariah.

Asas-asas ilmu seperti ditetapkan panel syariah dan penyelidikan ilmiah yang dijalankan akan digunakan sebagai hujah menyokong kes itu.

Sekiranya dokumen ini disediakan oleh syarikat bersifat Sdn. Bhd. atau pemilikan tunggal, tiada jaminan mereka akan wujud pada masa hadapan kera­na pada bila-bila masa syarikat seperti ini boleh menutup operasi tanpa sebarang obligasi. Maka, tinggal penerima hibah terkial-kial tanpa bimbingan untuk menguruskan hibah itu.

Peguam syarie berdaftar

Hibah juga sebaiknya disediakan oleh peguam syarie berdaftar kerana dari segi kelayakan, mereka adalah orang yang berpengetahuan dalam selok-belok pelaksanaan hibah dan proses pengesahan di mahkamah.

Masyarakat perlu faham bahawa dokumen hibah bersifat perundangan dan jangka panjang. Untuk mengelakkan masalah jika dicabar kelak, e­lakkan daripada membuat hibah dengan mana-mana individu yang tiada kelayakan rasmi atau syarikat yang mungkin beroperasi dalam jangka pendek sahaja walaupun mereka mendakwa mempunyai pe­ngetahuan dan pengalaman.

Ada yang berkata kepada saya, mereka memilih pihak-pihak ini kerana yurannya murah sedangkan syarikat amanah dan peguam syarie mengenakan yuran lebih mahal.

Jawapan saya, yang dikenakan sebenarnya adalah berpatutan kerana syarikat amanah mempunyai tadbir urus korporat yang ketat dari segi pengurusan dan pembuat keputusan.

Risiko kes hibah

Syarikat amanah juga mempunyai kos panel syariah profesional yang menasihatkan syarikat mengenai kepatuhan syariah dalam operasi dan pembangunan produk, kos pembangunan sistem yang mencecah jutaan ringgit untuk memastikan operasi dijalankan secara cekap dan kesemua tenaga kerja adalah individu yang mempunyai kelayakan bersesuaian.

Selain itu, syarikat amanah juga mengeluarkan kos bagi penyelidikan ilmiah dari semasa ke semasa. Semua ini memastikan bahawa hibah yang dibuat oleh masyarakat boleh berkuat kuasa di mahkamah.

Begitu juga dengan peguam syarie. Mereka perlu melalui proses pembelajaran yang intensif di universiti dan melalui proses tertentu sebelum diiktiraf sebagai peguam syarie yang berhak dilantik untuk membawa kes di Mahkamah Syariah.

Jadi, yuran yang dikenakan oleh kedua-dua pihak ini adalah bersesuaian dengan profesionalisme mereka. Adakah anda ingin mengambil risiko hibah anda tidak dapat disahkan hanya kerana yuran yang lebih murah? Tanya diri sendiri soalan ini.

Atas nama keadilan untuk semua, sebenarnya apa sahaja boleh dicabar di mahkamah. Malah, ada kes ayah telah memindah milik geran tanah daripada namanya kepada nama anak semasa masih hidup, juga dicabar oleh anak lain yang tidak berpuas hati atas dakwaan penipuan dan pemalsuan tanda tangan.

Dengan mengatakan apabila hibah telah dibuat, ia tidak boleh dicabar adalah kurang tepat.

Bagaimanapun, apabila hibah telah dibuat dengan sempurna oleh pihak profesional yang berkelayakan seperti syarikat amanah atau peguam syarie, risiko kes hibah ini kalah apabila dicabar di Mahkamah Syariah dapat diminimumkan.

Oleh itu, anda buatlah pilihan yang bijak. Anda mahu hibah anda berkuat kuasa atau tidak?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini