KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mendesak Pesuruhjaya Sukan (PJS) membuat keputusan segera sama ada beliau layak atau tidak untuk bertanding jawatan presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
Kata Khairy, ini penting kerana dengan mesyuarat agung tahunan (AGM) MPM akan berlangsung Sabtu ini, PJS mempunyai masa suntuk untuk berbuat demikian.
Jika tidak, masalah mungkin timbul ketika atau selepas mesyuarat, malah kemenangan calon boleh terbatal sekiranya ia diteruskan tanpa penjelasan rasmi mengenai status calon-calon yang bertanding.
“Setakat ini saya masih berminat untuk bertanding jawatan presiden (MPM) tetapi memandangkan mesyuarat akan berlangsung Sabtu ini, saya harap perkara ini dapat diselesaikan sebelum tarikh tersebut.
“Kita tak nak nanti berlangsung AGM, lepas itu AGM dibatalkan disebabkan pertikaian (kelayakan calon misalnya). Itu saya serah kepada MPM sedia ada untuk membuat perbincangan dengan Pesuruhjaya Sukan.
“Hari ini Selasa, cukup masa untuk mereka buat ketetapan sama ada AGM ini dapat diteruskan, sama ada saya boleh bertanding atau pun tidak,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE











