ALOR SETAR – Para peniaga dan pekerja di deretan rumah kedai berdekatan sebuah pusat beli-belah, di Jalan Tunku Ibrahim, di sini khuatir selepas kawasan itu dikesan menjadi lokasi yang disyaki berlakunya penularan penyakit Chikungunya.
Pekerja, Wan Chan Foong, 39, berkata, dia dan keluarganya turut disyaki mengalami gejala penyakit itu selepas melakukan pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), kira-kira dua minggu lalu.
“Saya, isteri, dua anak dan kedua-dua ibu bapa mengalami demam dan sakit sendi yang teruk pada waktu malam, apabila melakukan pemeriksaan di hospital doktor mengesyaki kami menghidap penyakit Chikungunya.
“Walaupun kini kami sudah semakin pulih, tapi tetap takut dan masih menunggu keputusan ujian darah untuk mengetahui sama ada gelaja itu memang penyakit Chikungunya atau penyakit lain,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang peniaga, Mohd. Yassim Naina Mohamed, 62, pula berkata, kes penularan Chikungunya tidak pernah berlaku di kawasan perniagaan tersebut sebelum ini.
“Saya baru tahu berlaku penyakit ini di kawasan ini pagi tadi dan berharap pihak Jabatan Kesihatan negeri dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dapat memastikan semua lokasi pembiakan jentik-jentik dimusnahkan segera.
“Kami bimbang sekiranya penyakit ini terus menular kerana sudah 14 penduduk di kawasan ini disyaki menghidap penyakit itu,” katanya.
Tambah peniaga rempah-ratus itu, semua peniaga juga perlu memastikan premis perniagaan masing-masing bersih dan bebas daripada pembiakan jentik-jentik bagi mengelak penyakit tersebut daripada terus menular.
Terdahulu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, kesemua 14 pesakit yang berusia antara 35 hingga 50 tahun itu mengalami rekod tanda-tanda demam, sakit sendi yang teruk dan ruam sejak 9 Jun lalu.
Namun kata beliau, jabatan itu tidak menolak kemungkinan mereka menghidap penyakit lain dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk menghantar sampel untuk ujian makmal di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh. – UTUSAN ONLINE











