UTUSAN: Apakah isu atau perkara yang dijangka menjadi hangat dan akan dibangkitkan oleh para perwakilan pada Muktamar Tahunan Pas Ke-65 kali ini, lebih-lebih lagi pasca Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14?
DR. MAHFODZ: Antara isu penting dan akan diberi tumpuan dalam muktamar kali ini sudah tentu kerjasama Pas dengan UMNO. Mungkin akar umbi akan meminta penjelasan daripada pucuk pimpinan parti mengenai kerjasama ini.
Ini merupakan platform terbaik untuk memberikan penjelasan dan penerangan kepada ahli parti supaya mereka faham mengapa kerjasama ini dilakukan.
Ini bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham ahli Pas yang selama ini setia menyokong perjuangan kita.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menang tanpa bertanding selepas tiada yang menawarkan diri untuk dua jawatan berkenaan. Ini menunjukkan kedua-duanya masih mendapat kepercayaan parti, namun hala tuju Pas dalam arena politik dijangka tidak akan banyak berubah. Apa komen Datuk mengenai perkembangan ini?
Presiden dan Timbalan Presiden menang tanpa bertanding tidak bermakna tiada perubahan politik kerana isu hala tuju bukan sahaja ditentukan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tetapi kepimpinan parti, dewan harian, lajnah politik, pusat penyelidikan Pas dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.
Pembaharuan tetap akan dilakukan untuk parti bagi memastikannya relevan dan terus diterima, Pas membuat keputusan itu secara berjemaah.
Bagaimana Datuk melihat hubungan Pas-UMNO, adakah setakat kerjasama antara dua parti politik dalam isu-isu melibatkan Melayu dan Islam atau akan wujud tahalus siasi baharu antara dua parti politik terbesar Melayu itu pada masa depan?
Setakat ini (hubungan) Pas dan UMNO hanya bersifat Ta’awun, maksudnya kerjasama terutamanya dalam soal Islam, Melayu bumiputera, kedaulatan Raja-raja Melayu dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
Kita belum bincangkan tentang tahaluf siyasi tetapi kerjasama politik untuk menghadapi PRU-15 supaya tidak berlaku pertandingan tiga penjuru dan yang akan berlaku hanya antara Pakatan Harapan (PH) dengan UMNO serta Barisan Nasional (BN) dan Pas dengan Pakatan Sejahtera.”
Apa pandangan Datuk berhubung perpaduan dan perpecahan umat Islam dan Melayu ketika ini. Adakah UMNO dan Pas mampu menjadi sandaran terutama orang Melayu pada PRU-15? Apa faktor Datuk fikirkan untuk dua parti Melayu itu dapat memenangi hati Melayu dan bukan Melayu?
Oleh kerana perpecahan umat Islam Melayu pada PRU-14 itu, kita mengajak mereka bersatu bagi menghalang DAP atau PH untuk terus berkuasa di Malaysia kerana DAP daripada kaum minoriti boleh memecahkan orang Islam yang majoriti lalu menguasai mereka.
Ini yang kita nampak dan bimbang. Perkara ini tidak boleh dibiarkan daripada terus berlaku.
Selepas setahun memerintah, apakah komen Datuk berhubung prestasi kerajaan PH?
Kita bimbang sangat tentang ancaman terhadap Islam dan bumiputera yang dilakukan PH dalam masa setahun ini. Bukan itu sahaja keadaan ekonomi pun terus merudum dengan kenaikan barang keperluan.
Apabila mereka tidak dapat selesaikan (masalah ekonomi dan harga barang naik), mereka biasanya menyalahkan kerajaan lama.
Ini tidak sepatutnya berlaku, seharusnya mereka memberikan idea dan melakukan usaha dalam mengatasi masalah ini dan bukan terus-menerus menyalahkan pihak lain.











