DALAM kehidupan hari-hari abang hensem percaya kalau tidak pun sekali, pasti kita ketemu orang seperti tajuk tertera di atas. Betul tak?
Bila dia sembang pun ‘tinggi’. Tidak ada yang lebih baik, hebat macam dia. Bukan paras bangunan KLCC lagi dah, tapi melangit. Abang hensem tak pasti sama ada ‘sembang gajah’ ini termasuk apa yang dikategorikan sebagai megalomania.
Tapi jika disingkap istilah ilmu kedoktoran, megalomania ini salah satu gejala gangguan jiwa yang ditandai dengan fantasi hebat atau perilaku gaya habis.
Sedangkan realitinya tidak benar. Si pelakunya mahu dipuja dengan diulit gangguan empati. Yakni berfantasi dirinya sudah sukses tanpa melihat realiti dan batasnya. Pendek kata – dialah paling hebat, cerdik luar biasalah.
Bapa psikologi, Sigmund Freud ada mengatakan yang akar dari megalomania ini adalah dek rasa cinta terhadap diri sendiri yang berlebihan. Penderita megalomania biasanya menilai dirinya sendiri di luar batas kewajaran.
Abang hensem selalu jumpa orang macam ini. Bila kita mengkritik, dia akan salahkan kita balik. Acap kali ada sahaja dalihnya, dirinya sahajalah yang paling benar. Akan adalah ‘alasan tok nenek’ dia.
Di manakah kita akan selalu jumpa megalomania seperti ini? Abang hensem tak nak pergi lebih ‘yang aras tinggi’. Tapi ‘sembang gajah’ atau penghidap megalomania ini boleh kita hadap waktu beramai-ramai adik beradik ipar duai balik ke kampung berhari raya.
Ha! Kalau sudah bertemu ‘sekufunya’ yang kerja besar, rumah besar, berkereta besar – semuanya besar-besarlah – duduklah mereka dua tiga orang bersembang sakan. Dunia ini mereka punyalah.
Dan mana adik beradik dan ipar yang kerja kilang, berniaga tepi jalan, bawa lori, duduklah mereka tercongok kononnya macam kera sumbang. Padahal terasa diri ini `begitu kerdil sekali’.
Langkah terakhir, elok-elok rancang tiga hari bercuti di kampung, esok sudah kemas kain baju, cabut balik. Macam mana ya kalau tiba-tiba kita tak bernasib baik bertemu dengan si ‘sembang gajah’ ini?
Kalau ikut cara abang hensem, sedang syok dia bersembang, dengan pantas alihkan saja topik ke isu-isu tak serius, humor. Atau kalau sudah tak boleh gi, bagi alasan nak ke toilet. Atau mahu telefon anak. Angkat kaki teruslah. Bikin serabut kepala, apatah lagi bila gaji pun belum masuk.











