KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang didakwa atas empat pertuduhan
menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta dari Datuk Seri Najib Tun Razak dan membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang sepatutnya bermula 8 Julai ini ditangguhkan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah kemudian menetapkan 16 hari bermula 9 Mac 2020 untuk perbicaraan kes itu.
Terdahulu, peguam Farhan Read yang bertindak bagi pihak Muhammad Shafee memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya perlu menghadiri perbicaraan melibatkan bekas Perdana Menteri yang didakwa berhubung dana SRC International Sdn. Bhd.
“Anak guam saya merupakan peguam utama dalam kes berkenaan dan buat masa ini, SRC International adalah keutamaan. Sehubungan itu, kami mohon tarikh perbicaraan pada Julai ini dilapangkan,” katanya.
Sebelum ini, mahkamah telah menetapkan tarikh bermula 8 Julai hingga 11 Julai dan 15 Julai hingga 18 Julai tahun ini untuk perbicaraan kes tersebut.
Pada 13 September lalu, Muhammad Shafee didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dengan pengubahan wang haram iaitu dengan menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta.
Peguam itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM5 juta dan penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau itu juga didakwa atas dua pertuduhan mengemukakan penyata tidak betul kepada LHDN yang bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014. – UTUSAN ONLINE.











