Bersatu Masjid Tanah anjur program jualan barang harga patut - Utusan Malaysia

Bersatu Masjid Tanah anjur program jualan barang harga patut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASJID TANAH 1 Jun – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Masjid Tanah hari ini melancarkan program jualan barangan asas harga patut kepada penduduk kawasan Parlimen itu di Pengkalan Balak di sini malam tadi.

Program anjuran bersama Bersatu bahagian, Koperasi Ukhuwah Malaysia Berhad, Yayasan Penggerak Wawasan dan Parlimen Masjid Tanah itu menjual barangan keperluan seperti beras, minyak masak, gula, susu, ayam, biskut pada harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran.

Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, program seperti ini bertujuan mendekati rakyat dan pada masa yang sama memberi peluang kepada mereka mendapatkan barangan asas keperluan dapur pada harga yang murah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Program seperti ini dianjurkan bagi mendekatkan pemimpin dengan masyarakat dan pada masa yang sama menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Iftar Perdana Bersatu Bahagian Masjid Tanah dan pelancaran Jualan Barangan Asas Harga Patut di Pengkalan Balak di sini malam tadi.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Ukhuwah Malaysia Berhad, Dr. Mustapa Kamal Maulut berkata, pada program itu pihaknya menyumbang cenderahati dan wang tunai kepada 150 penerima terdiri daripada golongan asnaf dan fakir miskin di Parlimen tersebut.

“Saya menyeru kepada rakan koperasi lain untuk menyemarakkan aktiviti seperti tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti ini namun pada masa yang sama, setiap koperasi itu perlu menjalankan perniagaan bagi memperoleh keuntungan sebelum melaksanakan aktiviti tersebut,” katanya.

Setiausaha Bersatu Bahagian Masjid Tanah, A Lokman Ab. Ghani pula berkata, idea untuk mengadakan program jualan barangan asas harga patut ini ditimbulkan oleh Mohd. Redzuan sendiri selaku Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka dan program jualan ini berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad ini.

“Pada Sabtu dan Ahad ini, jualan akan dibuka di pekarangan Masjid Ayer Limau, Masjid Tanah di mana kita akan menjual pelbagai barangan asas termasuk ayam daging pada harga RM10 seekor.

“Jualan bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang dan pada program itu, pihak penganjur akan memberikan tepung gandum percuma kepada setiap pembelian RM10 ke atas, malah pembekal beras iaitu syarikat Juara turutmemberikan 110 kampit beras percuma untuk kita agihkan kepada fakir miskin dan asnaf,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini