Tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam di negara ini akan menyambut hari raya Aidilfitri. Sementelah hari raya tahun ini jatuh pada cuti sekolah, sebahagian warga kota terutama suami dan isteri yang berkerjaya guru awal-awal lagi sudah balik kampung. Dapatlah sehari dua berpuasa dan berbuka puasa bersama ibu bapa dan adik beradik di kampung. Untunglah kepada sesiapa yang dapat balik awal kerana dapat mengelakkan azab dan stres kesesakan jalan raya yang berlaku setiap kali musim perayaan.
Seperti tahun-tahun lalu, berjuta-juta kenderaan dijangka meninggalkan ibu kota untuk balik ke utara, selatan dan Pantai Timur. PLUS sendiri menganggarkan kira-kira dua juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya tersebut menjelang Aidifitri. Di Kelantan sahaja sebanyak sejuta kenderaan dari luar dijangka membanjiri negeri tersebut sepanjang musim hari raya tahun ini.
Setiap kali balik kampung bagi menyambut Aidifitri salah satu topik pembuka bicara ketika beraya di rumah saudara mara tidak dapat lari daripada pengalaman meredah kesesakan jalan raya atau lebuh raya. Ada yang bercerita mereka memandu sehingga 10 atau 12 jam untuk sampai ke kampung halaman. Itu belum masuk bab kemalangan jalan raya yang mengakibatkan waktu perjalanan bertambah beberapa jam lagi. Ramai juga yang merungut terlepas solat sunat Aidifitri. Akibat keletihan juga, lebaran disambut dengan sekadar `tidur’ sepanjang hari. Topik ini akan kekal sebagai topik sembang nombor satu musim raya sampai bila-bila pun.
Kesesakan lebuh raya dan jalan persekutuan di seluruh negara tidak dapat dielakkan setiap kali menjelang cuti panjang perayaan. Masalah ini tidak akan selesai sampai bila-bila pun. Macam mana mahu selesai jika berjuta-juta kereta keluar serentak di jalan-jalan raya ketika itu. Pihak berkuasa hanya mampu memantau aliran trafik dan menyediakan khidmat bantuan kecemasan jika ada kemalangan.
Bagi perjalanan ke negeri-negeri di utara, khabarnya beberapa sektor lebuh raya baharu, Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) akan mula dibuka kepada orang ramai. Setakat ini hanya Jajaran Seksyen 8 dari Hutan Melintang ke Teluk Intan sepanjang 19.1 kilometer dibuka secara rasmi sejak kelmarin. Pembukaan jajaran melibatkan laluan dua lorong dua hala itu akan menjadi laluan pintasan penduduk setempat di sekitar Sabak Bernam, Bagan Datuk, Hutan Melintang, Teluk Intan dan Sitiawan. Walaupun hanya bersifat setempat iaitu memberi kemudahan kepada penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran, para penduduk di sekitar kawasan terlibat sudah tentu mendapat manfaat terutama pada musim hari raya.
Lebuh raya tersebut akan membantu penyuraian trafik dan menjadi laluan alternatif Lebuh raya PLUS terutama ketika musim perayaan bagi perjalanan dari Lembah Klang menuju ke utara dan sebaliknya apabila siap nanti. Berita ini sangat-sangat dinanti oleh pengguna yang balik beraya ke utara Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Orang ramai sudah tidak sanggup meredah kesesakan trafik dan kemalangan kenderaan berhampiran Terowong Menora, Ipoh. Kalau panjang umur, harapnya menjelang raya tahun hadapan lebuh raya tersebut sudah siap sepenuhnya.
Trauma meredah trafik yang bertali arus seperti tidak ada penghujung itu mungkin sedikit terubat jika janji kerajaan mahu menghapuskan tol dapat dilaksanakan. Sekurang-kurangnya berbaloi meranduk kesesakan, tanpa perlu membayar kos tol. Bagaimanapun impian tol percuma akan kekal sebagai angan-angan sampai kiamat. Kerajaan sendiri sudah memaklumkan itu hanya satu janji pilihan raya yang tidak boleh dilaksanakan. Jika dilaksanakan, langkah itu memberi kesan besar kepada kewangan dan pendapatan negara. Bersyukurlah kerana masih ada syarikat konsesi yang mahu menawarkan diskaun tol, walaupun tidak semua pengguna dapat menikmatinya kerana syarat-syarat tertentu. Ada syarikat konsesi yang menawarkan diskaun tol untuk lebuh raya sekitar ibu kota yang pada tarikh tersebut sudah lengang kerana warga kota sudah pulang ke kampung halaman.
Dalam keadaan kos sara hidup yang terus meningkat ini, insentif-insentif sedemikian walaupun tidak sebesar mana, sangat bermakna bagi sesetengah orang khususnya golongan berpendapatan rendah. Cuba-cubalah terima hakikat ini bahawa tidak akan ada tol percuma. Hentikanlah menuntut hapuskan tol kerana perkara tersebut tidak akan berlaku walaupun ramai yang memasang impian balik kampung raya era kerajaan baharu adalah memandu tanpa perlu membayar tol di semua lebuh raya.
Kalau dahulu selain memandu dan naik kereta api, sesetengah warga kota menempah tiket kapal terbang awal-awal lagi. Tahun ini ada cerita lagi menarik. Sudah ada perkhidmatan sewa helikopter untuk balik kampung. Satu pilihan bijak tetapi bukan semua orang mampu. Alangkah cantiknya kalau ada pihak yang sudi melakukan amal jariah dengan menaja penerbangan ihsan balik kampung menggunakan helikopter pada musim hari raya ini!
Hari lebaran adalah hari kemenangan umat Islam melawan hawa nafsu. Justeru kemenangan itu perlu diraikan dengan kegembiraan dan rasa insaf. Pulanglah ke kampung dengan lapang dada tanpa perlu marah-marah. Jangan contohi perangai `Abang Botak’ yang tak pasal-pasal beraya di sebalik tirai besi di Penjara Kajang kerana kebodohan sendiri. Dia dipenjara kerana melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan cermin depan kereta mangsa menggunakan topi keledar.
Nampak `sangat hebat’ dan gagah sekali ketika dia menghempuk topi keledarnya ke atas cermin depan kereta mangsa. Dengan sekali hayunan padu, retak seribu cermin tersebut. Tetapi dia lupa perbuatan itu dirakam. Pada zaman teknologi maklumat dan kegilaan media sosial ini, berfikirlah sebelum melakukan sesuatu perkara lebih-lebih lagi kalau itu berunsurkan jenayah. Kehidupan seharian manusia pada zaman ini dipantau kerana kamera ada di mana-mana.
Bertabahlah ketika meredah kesesakan berpuluh jam di atas jalan raya waima terpaksa menyambut 1 Syawal dalam kereta. Rakyat Malaysia sudah biasa dengan situasi sebegini kerana sudah berpuluh-puluh tahun mangli bermain dengan kesesakan balik beraya.
Teruskan disiplin bersabar yang telah dipupuk sepanjang menjalani ibadah puasa sewaktu memandu di jalan raya. Jangan terikut-ikut dan rasa tercabar dengan provokasi pemandu lain yang melanggar peraturan jalan raya seperti memandu di laluan kecemasan.
Matlamat setiap orang yang balik kampung ialah untuk sampai dengan selamat, bergembira menyambut hari mulia, bergembira dengan sanak saudara dan rakan taulan.
Kalaupun masih ada rasa marah dan berbuku dalam hati, tolong buka dan `sangkut’ segala perasaan itu di pintu pagar rumah di kampung. Lebih elok campak terus masuk ke dalam parit! Selamat menyambut Aidilfitri, maaf zahir batin.
Bertabahlah ketika meredah kesesakan berpuluh jam di atas jalan raya waima terpaksa menyambut 1 Syawal dalam kereta. Rakyat Malaysia sudah biasa dengan situasi sebegini kerana sudah berpuluh-puluh tahun mangli bermain dengan kesesakan balik beraya.











