Berakhirnya era Presiden demokrat Mesir - Utusan Malaysia

Berakhirnya era Presiden demokrat Mesir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEKAS pemimpin demokratik pertama Mesir, Mohamed Morsi dianggap ‘mati syahid’ oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan selepas memperjuangkan dirinya untuk agama, rakyat dan negara itu.

Kematian Mohamed Isnin lalu menandakan tamatnya era demokrasi negara itu ketika hasrat demokrasi di Mesir dilihat terkubur bersama pemergian Allahyarham.

Kata-kata terakhir beliau semasa ucapannya sebagai Presiden pada 2013 mungkin yang paling sesuai menggambarkan pendirian beliau.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika harga bagi mempertahankan legitimasi adalah darah saya, maka saya bersedia untuk mengorbankan darah saya demi keselamatan dan legitimasi tanah air ini,” katanya.

Bagaimanapun, tidak berapa lama selepas beliau berucap sedemikian, tentera Mesir menggulingkan Mohamed pada 3 Julai 2013 yang merupakan satu-satunya Presiden dipilih secara demokratik.

Menurut ahli akademik Universiti Yıldırım Beyazıt, Huseyin Mercan, penggulingan itu sebenarnya menjatuhkan sebuah figura yang telah mencabar status quo Asia Barat.

Jelasnya, Mohamed yang dilahirkan pada 8 Ogos 1951 di Kampung El-Adwah di wilayah Al-Sharqia menjadi simbol titik tolak bagi sejarah moden Mesir.

“Mohamed mengambil tanggungjawab penting bagi Mesir dan Ikhwanul Muslimin dalam tempoh masa kritikal.

“Beliau menjadi Presiden dalam tempoh sukar dengan membawa beban ketika era peralihan daripada revolusi,” katanya.

Tambahnya, Mesir kemudian menyaksikan protes anti-Morsi tahun berikutnya dan sebelum itu Menteri Pertahanan yang kini Presiden, Abdel Fattah el-Sissi menjatuhkan Mohamed menggunakan tentera.

Sejak itu, pihak berkuasa rejim melancarkan tindakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan, membunuh ratusan bekas penyokong Presiden dan menghumban ribuan orang ke penjara atas dakwaan ‘keganasan’.

Pada masa sama, kerajaan Abdel Fattah cuba mewujudkan imej negatif terhadap Mohamed.

Huseyin memberitahu, legasi Mohamed dianggap sebagai ancaman terhadap rejim autoritarian yang sangat ketat Abdel Fattah.

“Akhirnya, masa akan mendedahkan kebenaran dan imej sebenar Mohamed akan kembali bangkit,” ujarnya.

Mohamed yang mempunyai lima anak serta tiga cucu berhadapan dengan pelbagai dakwaan sejak diguling dan dipenjarakan.

Sebanyak enam pertuduhan termasuk pecah penjara, pembunuhan, pengintipan bagi Qatar, Hamas dan Hezbollah, menghina kehakiman serta terlibat dalam keganasan.

Keluarga Allahyarham bersama organisasi antarabangsa dan tempatan berulang kali membuat aduan mengenai tahap kesihatan beliau yang semakin buruk di penjara namun ia diabaikan pihak berkuasa Mesir.

Peguam bekas Presiden itu, Abdel Monem Abdel Maqsoud berkata, Mohamed ketika perbicaraan akhirnya menyatakan beliau bangga dengan negaranya meskipun ketidakadilan yang dialami selepas digulingkan.

“Saya mengetahui rahsia-rahsia yang tidak akan dedahkan demi keselamatan negara ini,” ujar Mohamed yang disampaikan oleh peguamya.

Mohamed akhirnya menghembus nafas terakhirnya selepas enam tahun dipenjarakan dan di sebalik tindakan Mesir ‘mendiamkan’ kematian pemimpin itu, semoga Allah merahmati roh beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini