TIDAKLAH begitu mengejutkan apabila sering kali inovasi anak tempatan mendapat pengiktirafan daripada negara luar kerana kadang-kala mereka lebih terbuka dalam melihat kelebihan produk yang ingin disampaikan.
Perkara sama berlaku kepada Myprodigy iaitu sebuah kajian dan modul berkaitan kaedah mencungkil minat, hala tuju, kerjaya serta potensi dalam diri seseorang pelajar secara digital kini sedang dikembangkan di New Zealand setelah berjaya menarik minat mereka.
Menurut pengasasnya, Jaziri Alkaf A. Suffian, rakan kongsinya di negara burung Kiwi itu menaruh sepenuh kepercayaan terhadap MyProdigy yang dilihat mampu mengubah cara pelajar melihat dunia selepas ini.
Ujarnya, adalah satu kerugian jika pelajar-pelajar di Malaysia tidak didedahkan dengan program tersebut sedangkan New Zealand sebagai sebuah negara maju telah pun mengiktirafnya.

UBAH KEBIASAAN
RATA-rata pelajar di negara ini mengalami masalah untuk menentukan hala tuju melanjutkan pengajian seterusnya bidang kerjaya. Ramai dalam kalangan mereka menunggu selepas menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baharu mahu menentukan hala tuju seterusnya.
Di sini bukan soal anda menerima keputusan cemerlang atau pun tidak baharu hala tuju diwujudkan, tetapi memahami ia perlu diletakkan sebagai asas utama dalam kehidupan seorang pelajar.
Apabila kaedah konvensional terus diterapkan dalam kehidupan pelajar, pasti pada masa akan datang negara akan terus ketandusan pelapis pemimpin.
Apa tidak, ramai dalam kalangan pelajar di universiti sendiri pun kadang-kala keliru dalam memilih bidang yang sesuai dengan diri mereka. Oleh itu ramai yang bertukar bidang setelah separuh jalan belajar.
Tidakkah itu merugikan masa? Malah bagi mereka yang meneruskannya lalu mendapat kerja akan bekerja dalam keadaan yang tidak bersungguh-sungguh kerana tidak ada passion.
APLIKASI MYPRODIGY
Bermula 2013, pada asalnya adalah sebuah kajian yang dibukukan sebelum diperluas kepada aplikasi khas yang tertumpu kepada pelajar berumur 15 tahun dan ke atas kerana pada had umur itu mereka telah pun matang untuk membuat keputusan sendiri.
Bermula dari tingkatan tiga mereka akan dipandu sehingga menduduki peperiksaan SPM dari segi bakat dan minat. Setelah mendapat keputusan peperiksaan mereka akan dipandu lagi untuk memilih bidang sesuai dengan minat dan bakat yang dikenalpasti.
Ia menawarkan golongan belia peluang untuk membina tools dan kemahiran yang kritikal yang amat berguna dalam hidup. Mereka amat memerlukan apa juga kaedah pembelajaran yang terbaik di era kurun ke-21 seperti pengalaman digital, memfokus kepada pembinaan haluan dan kemahiran utama untuk mencapai kejayaan.
Untuk itu, MyProdigy juga bekerjasama dengan syarikat Minded di Wellington, New Zealand untuk memajukan sebuah aplikasi khas sebagai platform pembelajaran digital moden, iaitu MyProdigy Pathway Minded App.
Aplikasi tersebut membolehkan golongan belia membina dan mencapai aspirasi menerusi kefahaman mereka terhadap kelebihan dan minat dalam diri mereka sendiri. Ini kerana tiada seorang pun daripada kita yang sebenar-benarnya serupa dari segi keinginan, impian dan juga minat. Menerusi aplikasi ini mereka boleh mencipta pelan masa depan dan laluan yang sesuai dengan kehendak dan diri masing-masing secara individu.
TENTUKAN SENDIRI HALUAN HIDUP
Banyak yang kita dengar sesetengah pelajar yang cemerlang terpaksa mengambil bidang yang mereka tidak minat, namun atas desakan ibu bapa, mereka hanya menurut. Natijahnya, ada yang belajar sekadar belajar dan apabila bekerja mereka menjadi seorang pekerja yang sambil lewa dan kurang passion dalam kerjaya tersebut.
Aplikasi yang diperkenalkan ini mampu mencungkil kekuatan, minat serta tujuan sebenar mereka yang bergelar pelajar, mahasiswa dan juga pekerja. Kita bermula dengan konsep The Minded Hexagon, sebuah pangkalan data yang akan mengumpulkan segala maklumat secara individu menerusi permainan ringkas. Ia bertujuan mengenalpasti otak mana yang mendominasi seseorang sebelum mereka mengetahui dengan lebih lanjut kekuatan, proses berfikir (menjangka) dan personaliti mereka sendiri.
Menerusi pendedahan daripada aplikasi Minded Hexagon Profiling, mereka akan diberi panduan pelan laluan khas secara berkala dan melihat semula sasaran menggunakan pendekatan holistik.
Sepanjang melalui bersama panduan tersebut, pelajar juga memerlukan pengetahuan dan kemahiran yang boleh membantu mereka menerusi modul-modul pembelajaran yang ringkas. Teknik permainan video yang diperkenalkan adalah bagi memastikan proses pembelajaran lebih menarik.
SASARAN MYPRODIGY
Sasaran program ini sebenarnya bagi menghasilkan warga negara lebih dinamik selari dengan kehendak dunia pekerjaan masa kini yang memerlukan seorang pekerja memiliki pelbagai kemahiran. Ia juga bagi memenuhi keperluan dan kunci bagi tenaga kerja di abad ke-21.
Selain itu, kita juga dapat menjimatkan kos kerajaan bagi melatih semula golongan belia dengan mengelakkan isu mismatching selain meningkatkan pertumbuhan para usahawan muda dalam negara.
Myprodigy juga sedang dalam usaha bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan untuk mengembangkan program ini di bawah projek GERMS (Growing Enterpreneurs & Employbility Maximation Strategy) untuk mengenalpasti prasarana-prasarana yang berkaitan untuk menghasilkan lebih ramai usahawan.
Kementerian menyokong penuh program ini dan MyProdigy sedang melihat pendekatan cara baharu untuk melahirkan usahawan yang lebih efektif dan lebih ramai terutama kaum Melayu untuk bersama-sama berkongsi kek ekonomi negara.










