MADRID – Bekas bintang Arsenal, Sevilla dan Real Madrid, Jose Antonio Reyes meninggal dunia pada usia 35 tahun selepas terlibat dalam satu kemalangan semalam.
Menurut laporan media, kenderaan yang dinaiki Reyes terlibat kemalangan di bandar kelahirannya di Utrera berdekatan dengan Seville.
Reyes meninggalkan isterinya, Noelia Lopez yang dikahwininya pada Jun 2017 serta dua anak perempuan.
Bekas kelabnya, Sevilla mengesahkan berita tersebut menerusi kenyataan dalam laman Twitter.
“Kita telah menerima satu berita buruk. Bekas bintang kesayangan Sevilla, Jose Antonio Reyes telah meninggal dunia dalam satu kemalangan trafik. Bersemadilah dengan aman,” jelas kenyataan tersebut.
Berita kematian Reyes yang ini mengejutkan dunia bola sepak kerana dia pernah dianggap sebagai pemain bintang yang pernah memenangi pelbagai gelaran bersama tiga kelab utama Eropah.
Sebelum kematiannya, dia merupakan pemain kelab Divisyen Dua Liga Sepanyol, Extremaduraselepas menandatangani kontrak selama lima bulan pada Januari lalu.
Reyes yang membuat 21 penampilan buat skuad kebangsaan Sepanyol, memulakan kariernya bersama kelab Sevilla dan membuat penampilan sulungnya pada usia 16 tahun.
Dia kemudian berhijrah ke Arsenal ketika musim 2003-04 yang menyaksikan The Gunners menjuarai gelaran Liga Perdana England (EPL) dengan harga sekitar £15 juta (RM79.3 juta), sekali gus menjadi pemain Sepanyol pertama memenangi trofi berkenaan di England.
Reyes kemudian meninggalkan kelab London itu dan kembali semula ke Sepanyol dengan menyertai Real Madrid secara pinjaman sebelum berpindah ke Atletico Madrid pada 2007 yang mana menyaksikan dia membantu kelab berkenaan memenangi gelaran Liga Europa dua kali.
Pada 2012, Reyes kembali menyertai Sevilla dan kemudian berpindah kek beberapa kelab lain seperti Espanyol, Cordoba dan Xinjiang Tianshan Leopard di China sebelum beraksi buat Extremadura.
Dia juga memegang rekod sebagai pemain paling banyak memenangi Liga Europa dengan dua kali bersama Atletico dan tiga kali bersama Sevilla. – K! ONLINE











