KUALA LUMPUR 25 Jun – Bina Darulaman Berhad (BDB) komited untuk terlibat secara aktif dalam projek pembangunan infrastruktur di Kedah termasuk pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Hab Industri Pembuatan dan Logistik di Sidam dan Lebuh raya Koridor Utara.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan BDB, Mohd. Iskandar Dzulkarnain Ramli berkata, BDB bersedia membantu melaksanakan segala agenda dan perancangan yang mendatangkan kebaikan kepada Kedah.
Jelas beliau, BDB, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), kerajaan negeri dan persekutuan sedang giat mengadakan perbincangan lanjut sejak Februari lalu berhubung projek-projek berkenaan.
“Kami memiliki kapasiti dan kepakaran untuk membantu. Dari segi bahan pembinaan, BDB memiliki kuari dan mempunyai kepakaran dalam penyenggaraan jalan untuk pembangunan lebuh raya.
“Antara projek BDB yang mendapat pengiktirafan daripada kerajaan persekutuan ialah Projek Perumahan Rakyat Jerlun yang kini berada pada tahap penyiapan 30 peratus lebih awal berbanding jadual.
“Mengikut perancangan asal penyerahan unit akan dilakukan pada Disember depan, namun ia mungkin dapat diserahkan lebih awal sama ada Ogos atau September,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Jalinan Kerjasama antara BDB, Koperasi Telekom Malaysia (Kota Mas) dan Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam).
Mac lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan tujuh projek mega melibatkan pembangunan prasarana dan kebajikan rakyat di Kedah, membabitkan peruntukan lebih RM3.2 bilion sebagai usaha memastikan negeri itu mencapai kemajuan setanding negeri maju lain.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed; Pengerusi Kota Mas, Zailan Mohd. Diah dan Pengarah Negeri Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Amran Abd. Kadir.
Pada majlis tersebut, Kota Mas menerima Surat Tawaran Pembiayaan Perumahan daripada Bank Islam manakala BDB menerima Surat Tunjuk Minat Projek Perumahan Darulaman Perdana daripada koperasi tersebut yang melibatkan 16 buah rumah teres dua tingkat Fuchsia.
Sementara itu, Zailan berkata, kerjasama antara Kota Mas dengan Bank Islam dan BDB membolehkan anggotanya mendapatkan pembiayaan perumahan di samping menikmati kelebihan yang ditawarkan oleh kedua-dua syarikat terbabit.











