ISKANDAR PUTERI – Seorang bayi lelaki berusia satu bulan ditemui meninggal dunia dalam keadaan tertiarap dipercayai lemas di dalam bilik rumah teres dua tingkat di Taman Nusa Bayu, Gelang Patah di sini pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa, Aaron Hidayat Abdullah ditemui sudah tidak bernyawa oleh ibunya selepas pulang daripada kerja.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, ketika kejadian, pengadu iaitu bapa mangsa sedang nyenyak tidur di bahagian ruang tamu rumah manakala anaknya tidur di dalam bilik atas sendirian.
“Selepas ibu mangsa pulang daripada kerja terus melihat anaknya namun anak lelaki mereka sudah tidak bernyawa dalam keadaan tertiarap dan mulutnya sudah kebiruan.
“Isterinya kemudiannya mengejutkan suaminya sebelum mereka membawa anak mereka ke Klinik Kesihatan Gelang Patah dan disahkan sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dzulkhairi berkata, siasatan mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan atau mana-mana rawatan susulan selain tiada unsur jenayah serta khianat berlaku terhadap bayi berkenaan.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.- K! ONLINE











