KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menjelaskan bahawa barisan kepimpinan pertubuhan itu yang dilantik bagi sesi 2018 hingga 2019 masih sah dari sudut perundangan.
Senarai nama barisan itu masih lagi diperakui Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Namun, Presidennya, Rizal Faris Mohideen Abdul Kader berkata,terdapat 18 ahli yang telah terlucut jawatannya secara automatik termasuk jawatan Timbalan Presiden DPMM sejak November tahun lalu.
Katanya, perlucutan jawatan itu disebabkan kesemua mereka yang terlibat telah melanggar Perlembagaan DPMM seperti yang diperuntukkan di bawah fasal 27.6.6 dan 8.12.5.
“Seramai 18 bekas pemimpin dan ahli ini melakukan penipuan. Mereka menggunakan kepala surat guna nama DPMM, mereka pergi ke media juga guna nama DPMM dengan jawatan-jawatan mereka. Mereka pergi merata jumpa menteri, agensi-agensi kerajaan guna nama DPMM. Ini memburukkan lagi nama DPMM,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat DPMM, Jalan Bruas, Bukit Damansara di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan 18 bekas ahli DPMM yang mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) secara tidak sah bertempat di Hotel Royale Chulan, The Curve, Damansara pada 15 Jun lalu.
Tambah Rizal Faris Mohideen, penganjuran AGM tidak sah ini adalah satu penipuan besar dan dipercayai dibuat dengan tujuan untuk merampas kuasa daripada barisan kepimpinan yang sah.
Katanya, mereka mengelirukan serta memperdaya ahli-ahli DPMM dan masyarakat umum dengan mengumumkan pelantikan bekas Timbalan Presiden DPMM, Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee sebagai Presiden baharu.
“Kita buat laporan polis di Ibu pejabat Polis Dang Wangi hari ini kerana mereka telah melakukan penipuan, berita palsu dan jenayah,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











