SABAK BERNAM – Seorang bapa lima anak diberkas selepas dipercayai menjadi pengedar dadah dalam serbuan di kebun kelapa sawit Parit 15 Sungai Besar di sini semalam.
Penahanan suspek berusia 45 tahun itu dilakukan pukul 6 petang.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Nor Azmi Isa berkata, semasa dicekup suspek dikatakan sedang berlegar-legar di kebun kelapa sawit itu menunggu pelanggan.
“Hasil pemeriksaan menemui 11 paket plastik lut sinar dadah disyaki heroin seberat 15.30 gram.
“Nilai keseluruhan dadah dianggarkan RM450,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, semakan mendapati suspek mempunyai 13 rekod kesalahan lampau narkotik dan jenayah.
Jelas Nor Azmi, suspek juga didapati baru sahaja dibebaskan daripada penjara pada November dua tahun lalu atas penyalahgunaan dadah.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis MOP.
“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Sekayen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. – K! ONLINE











