JOHOR BAHRU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri meminta orang ramai membantu mengesan pihak yang bertanggungjawab menyebabkan tiga gajah mati diracun di Kluang Jumaat lalu.
Pengarahnya, Salman Saaban berkata, sebarang maklumat boleh disalurkan bagi memastikan siasatan berjalan lancar termasuk bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Pihak Perhilitan tiada halangan, malah niat orang ramai untuk membantu membuktikan masyarakat begitu prihatin dengan isu melibatkan haiwan ini secara sukarela,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas mengenai satu peraduan untuk menjejak pembunuh tiga gajah betina terbabit yang tular dalam media sosial, Salman memberitahu, itu merupakan usaha pihak NGO dalam membantu pihak kerajaan.
“Iklan ini adalah inisiatif pihak NGO yang berhasrat untuk membantu pihak perhilitan berkaitan isu berkenaan,” katanya.
Terdahulu, iklan daripada Pertubuhan Pasukan Tindakan Haiwan (AAT) itu turut menawarkan hadiah utama iaitu penginapan empat hari tiga malam di bilik Duluxe di Hotel Marriot Putrajaya serta wang tunai RM2,000 bagi individu yang berjaya memberi maklumat hingga pelaku yang menyebabkan kematian gajah terbabit ditangkap.
Selain itu, peraduan terbabit meletakkan syarat bahawa pemenang perlu mempunyai bukti kukuh untuk membawa pelaku ke muka pengadilan untuk tindakan undang-undang.
Pada 4 Jun lalu pihak Perhilitan Kluang mengesahkan tiga ekor gajah betina yang ditemukan mati di sebatang jalan di Kampung Sri Timur 3 itu adalah akibat diracun dan kini sedang mengesan dua ekor lagi yang dipercayai masih berada dalam kawasan tersebut.
Tiga ekor gajah betina tersebut sebelum ini ditemukan mati atas jalan tersebut pada pukul 9.30 pagi dan menjadi tular dalam media sosial ekoran bangkainya bergelimpangan di kawasan kampung berkenaan. – UTUSAN ONLINE











