KUALA LUMPUR 20 Jun – Bank Muamalat Malaysia Bhd. menyasarkan peningkatan nilai gadaian sebanyak RM90 juta menerusi kempen ‘Jom Pindah Ar-Rahnu dan Menang Satu Kilogram Emas’ yang berlangsung dari 1 Jun 2019 sehingga 31 Mac, 2020.
Ketua Jabatan Perbankan Penggunanya Zury Rahimee Zainal Abiden berkata Bank Muamalat meletakkan sasaran yang lebih tinggi bagi kempen selama 10 bulan itu berikutan kejayaan kempen ‘Ar-Rahnu dan Menang’ sebelum ini yang mencatatkan nilai gadaian sebanyak RM26.9 juta bagi tempoh kempen yang lebih pendek.
Beliau berkata kempen ‘Ar-Rahnu dan Menang’ itu yang diadakan bermula 1 Ogos, 2018 sehingga 31 Mac 2019 turut menyaksikan penambahan purata akaun baharu Ar-Rahnu sebanyak 2,700 sebulan.
“Secara keseluruhan, jumlah terkini akaun Ar-Rahnu adalah sebanyak 27,000 akaun dan menerusi kempen yang baru bermula ini, kita menyasarkan pertumbuhan kepada 50,000 akaun,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah bagi kempen Ar-Rahnu dan Menang Bank Muamalat, di sini, hari ini. -BERNAMA











