IPOH – Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir di Dewan Komuniti Kampung Kuala Dipang, Kampar yang dibuka sejak Jumaat lalu ditutup secara rasmi hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kampar, Khairul Anwar Ramli berkata, penutupan dibuat selepas pemantauan oleh agensi keselamatan terlibat mendapati air banjir telah surut sepenuhnya dan kediaman mangsa selamat untuk diduduki.
“Penutupan PPS berkuat kuasa pada 11 Jun selepas makan tengah hari pada 12 tengah hari. Terima kasih kepada semua agensi yang terlibat bertungkus lumus menyeliakan PPS tersebut,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Seramai 14 penduduk dari dua keluarga di Kampung Cabang Dua Kuala Dipang terpaksa dipindahkan ke PPS tersebut Jumaat lalu selepas kediaman mereka dinaiki air akibat hujan lebat. – BERNAMA











