KATA orang bangkai gajah tak boleh ditutup dan disembunyikan. Apa lagi ditutup dengan daun kelapa. Mungkin pepatah inilah yang paling sesuai dengan kemelut ‘peletakan jawatan’ Datuk Seri Shukri dan perlantikan Latheefah Koya ke jawatan Ketua SPRM.
Kenapa tergesa-gesa Tun M? Pulak tu pengumuman dibuat petang raya sedang semua orang Melayu sibuk buat persiapan raya. Tempoh kontrak jawatan Datuk Shukri masih lagi berbaki setahun? Mungkin beliau ada kelemahan, tetapi kelemahannya itu tidaklah sebesar Ketua SPRM dan Peguam Negara sebelum ini yang buta-buta membebaskan Datuk Seri Najib Razak dari tuduhan jenayah yang mungkin melingkupkan negara?
Moga satu hari nanti Shukri boleh menulis sebuah memo yang menceritakan kisah sebenar dari saat beliau diketepikan semasa Najib dan ‘peletakan jawatannya’ yang mendadak semasa Dr. Mahathir.
Skrip ‘peletakan jawatan’ ini nampak sangat tempang apalagi bila sinetron itu disambung dengan skrip pelantikan Latheefah Koya ke jawatan Ketua SPRM dengan tergesa-gesa. Tak mungkin Datuk Shukri ‘letak jawatan’ dengan rela hati sebelum raya. Sekurang-kurangnya beliau tunggu selepas raya dan tentunya beliau sendiri umumkan ‘persaraannya’ semasa majlis hari raya SPRM merangkap majlis perpisahannya. Itu budaya orang Melayu. Lembut dan Tertib!
Sebenarnya Tun M tidak perlu tergesa-gesa. Tun M punya masa untuk beliau mencapai cita-citanya tanpa memburukkan imej PH dan merosakkan aspirasi Malaysia Baru. Kecualilah jika itu yang hendak dilakukan sebenarnya.
Berbeza dengan pelantikan Azhar Harun ke jawatan Ketua SPR yang begitu mendesak dengan PRK demi PRK. Dan Azhar Harun sendiri bukan ahli mana-mana parti dan kelayakan nya itu memantapkan lagi penerimaan rakyat terhadap beliau dan perlantikan beliau. Juga Ketua SPR sebelum ini memang terkenal sebagai boneka Najib yang coba ‘menafikan’ PH dari kemenangan di PRU-14 dan memerintah negara ini.
Tapi yang ini berbeza. Shukri adalah lantikan PH. Tiada yang mendesak. Shukri ada sampai Mei 2020. Boleh sahaja skrip itu dimantapkan dan seterusnya meyakinkan rakyat tentang komitmen dan aspirasi PH untuk mereformasikan SPRM.
Tun M boleh sahaja pengaruhi Kabinet dengan pelan dan pilihannya. Kemudian dibawa ke Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen berkenaan pelantikan jawatan awam. Dan setelah skrip itu semua tersusun barulah Tun M mengumumkan keinginan Shukri untuk mengundurkan diri lebih awal dan senarai nama calon pengganti telah dimajukan kepada Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen.
Tepung tak berselerak dan rosak. Rambut pula dapat ditarik keluar. Semua pasti menerima dengan baik. Imej PH pun naik, sokongan rakyat terhadap PH terpelihara.
Dengan tindakan mendadak ini, ramai orang terutama aktivis PH dapat menyimpulkan yang Tun M tidak peduli dengan imej PH. Malaysia Baru tiada erti kepada Tun M. Manifesto PH untuk PRU-14 sepertinya hanya mainan untuk Tun M mungkiri. Atau beliau lupa kerana faktor usia?
Tak mungkin! Dari beliau lah kata-kata ‘Melayu Tak Mudah Lupa’. Apa lagi ‘Perjuangan PH Yang Belum Selesai’! Pemerintahan PH pun baru sahaja masuk pusingan kedua tahun kedua.
Dan tahun pertama penuh dengan kepincangan dan kritikan. Jadi sesiapa sahaja dalam kabinet dan kerajaan seharusnya tidak boleh menconteng arang dimuka yang boleh melukakan PH selama-lamanya.
Tun M dan ahli Kabinet perlu kumpul semula memikirkan tindakan yang sesuai mengawal kerosakan ini. Dan masa ini sangat sesuai sedang rakyat terutama pembangkan sedang bersuka ria menyambut hari raya.
Mesti ada ahli Kabinet yang berani cakap baik-baik menasihati Tun M dan mencari langkah koreksi kearah memartabatkan Janji ke-14 Manifesto Harapan. Pasti rakyat boleh menerima baik ‘kesilapan’ ini lebih-lebih lagi dalam suasana hari raya.
Kalau ini tidak dilakukan segera, maka ahli kabinet PH dan YB-YB PH perlu disalahkan kerana membiarkan Tun M kembali kepada Mahathir 1.0 semasa dalam BN dulu, ‘bulldoze’ semua kehendak dan keputusannya tanpa konsultansi dengan Majlis Presiden PH dan ahli kabinetnya. Maka reformasi institusi kerajaan yang pincang dan Malaysia Baharu hanya angan-angan kosong Mat Jenin.
Ketika itu rakyat sudah pasti menyimpulkan PH tak berbeza dengan BN, ahli kabinetnya tidak lebih hanya ‘yes-men’ dan ‘rubber-stamp’ yang tidak berani menegur dan menasihati ketua demi prinsip, perjuangan, aspirasi PH dan Malaysia Baharu.
Dan jika itu benar-benar realitinya, tiada ucapan yang sesuai selain dari ‘Bye-Bye PH’!.
Wai Tee
3 Syawal 1440











