GUA MUSANG – Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan operasi pemindahan perubatan (Medevac) mengambil dua pesakit Orang Asli untuk mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang, di sini hari ini.
Pesakit yang dibantu tersebut ialah Shela Omar, 21, seorang wanita yang akan bersalin dari Kampung Penad, Pos Simpor.
Seorang lagi ialah kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, Zohdi Baida yang mengalami demam panas, cirit-birit dan batuk sejak lima hari lalu.
Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara JBPM Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Farhan Marzuki berkata, penerbangan menyelamatkan pesakit itu menggunakan helikopter Agusta Westland 139.
Katanya, selepas menerima laporan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), pihaknya berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada pukul 11.04 pagi.
“Pihak kami mengambil tindakan segera dengan melakukan penerbangan Medical Evacuation (Medevac) untuk membantu penduduk Orang Asli terbabit.
“Anggota kami tiba di Pos Simpor pada pukul 12.15 tengah hari dan mendarat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 12.50 tengah hari bersama dua pesakit tersebut,” katanya.
Tambah Mohd. Farhan, penerbangan itu satu keperluan kecemasan berikutan jarak penempatan mereka terlalu jauh, iaitu mengambil masa selama empat jam menggunakan jalan darat.
Katanya, penerbangan itu diketuai juruterbang, Penguasa Kanan Bomba 1, Faizal Izani Azizan dan dibantu Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Zukhairee Zabidi bersama tiga lagi anggota.
Sementara itu, suami Shela, David Kuasan, 37, ketika ditemui bersyukur apabila isterinya sempat dibawa ke hospital untuk bersalin.
Katanya, isterinya sudah menunjukkan tanda-tanda ingin bersalin sejak tiga hari lalu.
“Ketiadaan talian komunikasi di kawasan penempatan kami menyebabkan usaha kami untuk menghubungi pihak Jakoa bagi mendapatkan bantuan pengangkutan agak lambat,” katanya.
Setakat ini, kedua-dua pesakit telah menerima rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil. – UTUSAN ONLINE











