ALOR SETAR – Saat-saat terakhir Ramadan tahun ini memberi sepenuh keceriaan kepada 20 orang murid sekolah rendah di Daerah Bandar Baharu, dekat sini apabila menerima baju raya baharu.
Mereka yang dibawa menaiki bas untuk memilih sendiri pakaian diingini teruja sebaik sahaja menjejakkan kaki ke gedung tekstil, Jakel di sini.
Kanak-kanak yang terdiri daripada golongan asnaf di daerah itu dibantu kakitangan Jakel dan ahli keluarga masing-masing untuk mencuba pakaian raya baharu.
Menurut Urusetia Program, Farrawahida Mohamad Sa’aid, kesemua murid tersebut terpilih menyertai Program Sumbangan Baju Raya Jakel di gedung Alor Setar.
“Kita dapat melihat sendiri kegembiraan pada wajah kanak-kanak tersebut ketika memilih baju raya masing-masing kerana sesiapa pun akan teruja dengan kelengkapan baharu pada hari raya nanti,” katanya.
Turut serta dalam program itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Nursabrina Mohd. Noor dan Pengurus Jakel Alor Setar, Zainul Saad.
Sementara itu, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tengas, Nur Aliana Awatif Mohd. Yusuf, 12, berkata, dia gembira kerana diberi peluang memilih pakaian sendiri untuk dipakai pada 1 Syawal nanti.
“Lagi seronok apabila dapat memilih baju raya baharu bersama kawan-kawan, kami juga sempat membandingkan baju masing-masing yang semuanya kelihatan cantik dan bergaya,” katanya. -UTUSAN ONLINE











