KESAN perang saudara di sesebuah negara sebenarnya jauh lebih dahsyat berbanding bencana alam. Pergolakan sedemikian bukan hanya meruntuhkan sosioekonomi negara, bahkan turut memberi kesan kepada negara sekitar.
Antaranya, limpahan migrasi penduduk negara bergolak itu menyebabkan jirannya terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk mengendalikan pelarian perang tersebut.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila negara jiran itu turut tidak stabil dari segi sosioekonomi. Contohnya keadaan yang dihadapi oleh Somaliland yang terletak dalam wilayah Somalia, tetapi mendapat kuasa autonomi penuh daripada kerajaan negara itu.
Inilah antara pandangan yang diutarakan oleh Pengurus Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Noorsyazly Rameli yang berpeluang melawat Somaliland dalam misi kemanusiaan MyCare baru-baru ini.
Perang saudara di Somalia tidak merebak ke wilayah berkenaan, tetapi migrasi penduduk termasuk dari luar Somalia menjadikannya sukar untuk memberi tumpuan kepada program pembangunan sosioekonomi.
Kata Noorsyazly, situasi mundur itu tidak hanya berlaku di Hargeisa, tetapi juga membabitkan bandar atau daerah lain yang berada di bawah pentadbiran Somaliland.
“Masa tiba di ibu negara Somaliland (Hargeisa), saya dan pasukan MyCare dibawa melawat sekitar bandar itu dan boleh katakan infrastrukturnya sama seperti Malaysia pada era 1930 atau 1940-an.
“Suasana itu ditambah pula dengan laporan cuaca yang menyatakan tiada hujan di Hargeisa sejak sembilan bulan lalu,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat MyCare, Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.
Beliau mengetuai misi kemanusiaan MyCare ke Somaliland bagi mengagihkan sumbangan masyarakat Malaysia kepada ansaf yang memerlukan.
Dalam misi itu, lebih 1,000 keluarga disantuni dalam program MyRamadan termasuk melalui bantuan bekalan air, pek makanan dan wang tunai.
Namun, keadaan menjadi lebih teruk apabila beliau bersama pasukan MyCare bergerak keluar dari Hargeisa. Bangkai haiwan, sampah sarap, tanah kontang dan penempatan setinggan yang sesak kelihatan sepanjang perjalanan.
“Hujan ada turun tetapi tidak dapat penuhi keperluan semasa dan sebab itu ada banyak lopak air. Penduduk akan minum atau cedok air itu untuk diisi dalam bekas bagi dibawa pulang, tetapi masih tidak mampu tampung keperluan semasa,” katanya.









