KUALA LUMPUR – Peguam yang mewakili Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, N. Surendran hari ini tampil menjelaskan bahawa pihaknya tidak akan mengambil peduli terhadap ugutan Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mencabar pihaknya membuat laporan polis dan mengheretnya ke mahkamah.
Kata Surendran, pihaknya tidak akan bertindak berdasarkan sesuatu yang hanya bertujuan untuk menarik perhatian umum.
“Kami tidak akan bertindak atau membalas berdasarkan sesuatu ejekan yang menarik perhatian umum.
“Setiap maklum balas undang-undang akan dilakukan sekiranya sesuai bergantung kepada jadual waktu dan bukan disebabkan oleh sesiapa,” katanya melalui ciapan Twitter miliknya hari ini.
Surendran berkata demikian bagi mengulas cabaran Haziq Abdullah supaya Mohamed Azmin membuat laporan polis terhadap pengakuannya yang dikatakan tidak terlibat dalam video seks yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
Haziq Abdullah berkata, Mohamed Azmin patut membuat laporan polis sendiri dan mendedahkan segala bukti kepada perhatian umum.-UTUSAN ONLINE











