SUNGAI PETANI – Jika sebelum ini penjenayah melarikan ternakan hidup, namun berbeza di sini apabila tiga lelaki mencuri 400 ekor ayam yang telah siap diproses di sebuah kedai di Pasar Taman Kempas semalam, untuk menjualnya.
Perbuatan jenayah mereka itu walau bagaimanapun menerima padah apabila dua daripada mereka berjaya diberkas, kira-kira tiga jam setengah selepas kejadian.
Kedua-duanya yang berusia 21 dan 26 tahun itu ditahan di sebuah kedai pemprosesan ayam di Guar Chempedak kira-kira pukul 6.30 pagi ketika sedang menyusun ayam yang dicuri itu untuk dijual kepada pihak ketiga.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner, Adzli Abu Shah berkata, kehilangan ayam yang siap diproses itu disedari pemiliknya kira-kira pukul 4 pagi selepas mendapati kedainya dalam keadaan gelap walaupun lampu dinyalakan sewaktu kedai ditutup.

“Peniaga itu membuat aduan polis setelah menyedari kira-kira 400 ekor ayam yang siap diproses di kedai itu hilang.
“Melalui semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati sebuah kereta pacuan empat roda berhenti di hadapan kedai dan ada tiga lelaki bertopeng mengambil ayam berkenaan pada kira-kira pukul 3 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Video terbabit juga tular di media sosial sejak semalam yang memaparkan tiga orang lelaki memakai penutup muka sedang mengalihkan ayam siap diproses daripada tong ais ke dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Adzli berkata, ketika tangkapan dilakukan, kenderaan yang disyaki digunakan ketika mencuri ayam itu berada bersebelahan kedai prosesan ayam terbabit.
“Pemeriksaan mendapati 30 ekor ayam siap diproses berada di atas meja kedai manakala 15 ekor lagi berada di but belakang kereta itu.
“Sebanyak 355 ekor ayam berada di dalam dua buah tong ais berwarna kuning di dalam kedai yang sama,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu mengaku bahawa kesemua ayam berkenaan dicuri di sebuah kedai di Pasar Taman Kempas bersama seorang lagi rakan mereka yang masih bebas.
“Salah seorang daripada lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan menceroboh.
“Polisi kini sedang menjejaki seorang lagi rakan mereka yang terlibat dalam kes kecurian ayam itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” tambah Adzli lagi. – UTUSAN ONLINE











