Asyik alasan tidak ada duit - pesawah - Utusan Malaysia

Asyik alasan tidak ada duit – pesawah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU – Tidak ada peruntukan, kerajaan tidak ada duit.

Itu alasan didakwa yang sering diberikan oleh pihak bertanggungjawab setiap kali ada dalam kalangan pesawah meminta bantuan untuk membina atau membaiki sesuatu demi kemudahan golongan berkenaaan mengusahakan tanaman padi.

Keluhan tersebut antaranya disuarakan oleh seorang pesawah, Saifullah Abi Jamrah, 34, yang memaklumkan bahawa dia sudah tiga kali berjumpa dengan agensi terbabit bagi meminta mereka menyelenggara dan membaiki tali air di kawasan Banat, Guar Sanji di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun katanya, setiap kali itu, alasan sama diberikan iaitu kerajaan tidak ada peruntukan.

Katanya, usaha menyelenggara atau membina tali air baharu itu penting bagi memudahkan bekalan air disalurkan ke sawah di kawasan tersebut.

“Pada masa ini, kami menghadapi kesukaran air lambat sampai atau tidak ada langsung akibat masalah tali air itu. Tali air itu sudah lama dan mengalami banyak masalah dan tidak diselenggara sehingga memberi kesan kepada para pesawah.

“Sudah tiga kali saya minta pihak berkaitan baiki tali air berkenaan namun alasan diberikan ialah tidak ada peruntukan, kerajaan tidak ada duit.

“Saya pun hairan, tidak ada duit sangatkah sehingga hendak membaiki sesuatu yang memudahkan para pesawah tidak dapat dilaksanakan. Itu antara perkara asas yang perlu diberikan perhatian sebelum kerajaan melakukan sesuatu untuk menambah pendapatan petani,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, rakan-rakan lain juga ada menyuarakan masalah sama apabila permintaan mereka untuk membaiki longkang dan sebagainya di kawasan penanaman padi masih belum diluluskan.

“Saya harap kerajaan dapat meluluskan permintaan kami untuk menyelesaikan masalah-masalah di kawasan tanaman padi ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini