Armada Bersatu Perak mahu ROS ambil tindakan terhadap UMNO - Utusan Malaysia

Armada Bersatu Perak mahu ROS ambil tindakan terhadap UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak hari ini menyerahkan laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) supaya diambil tindakan terhadap UMNO berhubung penerimaan wang haram daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketuanya, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata, ia berikutan pendedahan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan dana sejumlah RM212 juta yang telah dipindahkan daripada syarikat milik kerajaan itu kepada UMNO.

“Perbuatan ini tidak boleh dimaafkan kerana wang 1MDB sepatutnya digunakan untuk pembangunan ekonomi negara dan bukannya disalurkan demi kepentingan parti dan kegunaan UMNO.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tindakan memindahkan dana dengan jumlah yang begitu besar ini jelas menunjukkan terdapat salah guna kuasa dan kesalahan penggunaan wang rakyat oleh UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan laporan tersebut kepada Pengarah ROS negeri, Norhasmaliana Ismail di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Hadir sama beberapa pimpinan Armada Bersatu Perak termasuk Ketua Armada Bersatu Bahagian Parit, Kuala Kangsar, Gopeng, Ipoh Barat dan Ipoh Timur.

Mohd Hafez berkata, sekiranya tiada tindakan tegas diambil, pihaknya bimbang amalan terkutuk itu akan berulang kembali serta menjadi ikutan pada masa hadapan.

Sehubungan itu, beliau meminta ROS mengenakan tindakan terhadap UMNO mengikut peruntukan undang-undang yang ada supaya ia menjadi pengajaran kepada semua bahawa penerimaan wang seumpama itu adalah haram dan salah di sisi undang-undang.

“Oleh itu, Armada Bersatu Perak memohon ROS mengambil tindakan tegas ke atas UMNO atas amalan korup dan tidak bermoral ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini