SUNGAI PETANI – Seorang penduduk cemas apabila kereta miliknya yang diletakkan di hadapan rumah dimasuki seekor beruk jantan dalam kejadian di Kampung Sidam, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, penduduk terbabit terus menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Muda kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku.
Pegawai APM daerah itu, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, seramai empat orang anggotanya terus bergegas ke lokasi setelah menerima panggilan tersebut.
“Beruk itu berjaya ditangkap tidak lama kemudian selepas anggota APM memantau terlebih dahulu keadaan beruk terbabit.
“Malah, penduduk juga perlu mengelak untuk menangkap sendiri sekiranya tiada kepakaran kerana kita bimbang berdepan apa-apa risiko,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azahar berkata, haiwan itu dimasukkan ke dalam sangkar khas sebelum dilepaskan ke habitat asalnya yang jauh daripada kawasan penempatan. – UTUSAN ONLINE











