KUALA LUMPUR – ‘Tidak semua perkara perlu didedahkan’.
Itu penegasan yang diberikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tiada sebarang keperluan untuk dirinya menjelaskan semua perkara dalam soal perjanjian kuasa antara beliau dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Tak payah umum semua. Saya berpuas hati dengan beberapa pertemuan saya dengan Dr. Mahathir, dan benda ini selesai. Nak korek (isu ini) ajak gaduh itu nak buat apa.
“Kamu tidak boleh anggap minta seorang penyandang Perdana Menteri untuk beritahu pelbagai hal dalam soal peralihan kuasa,” katanya seperti dipetik dalam portal Malaysikini di sini hari ini.
Beliau ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Lembah Pantai, di Kuala Lumpur, di sini malam ini.
Anwar berkata, beliau sentiasa berbincang setiap minggu dengan Dr. Mahathir dan memadai dengan mengulangi persefahaman yang dicapai sebelum ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr. Mahathir semalam bahawa beliau tidak akan melepaskan jawatannya ketika negara dalam keadaan berantakan.
Pada masa masa, beliau sekali lagi berkata akan berpegang teguh kepada janji untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.
Tiada garis masa khusus yang ditetapkan untuk peralihan kuasa itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak melihat tindakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali duduk semeja dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dan Peguam Negara, Tommy Thomas dalam satu majlis sebagai satu masalah.
“Itu kebetulan majlis rasmi, saya tidak fikir itu masalah.
“Saya masih percaya kepada profesional dan integriti polis untuk buat siasatan tanpa dipengaruhi,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE











