Antara kebodohan dan cari popular - Utusan Malaysia

Antara kebodohan dan cari popular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ORANG selalu berpesan, kalau kita hendak berkata-kata atau menulis, biarlah berlapik. Kalau orang itu jelas nampak kebodohannya, jangan cakap dia bodoh, cakaplah kurang cerdik. Walaupun kita dalam keadaan marah yang berapi-api, cubalah kawal perasaan. Jangan kita pun jadi seperti orang yang tidak cerdik itu.

Tetapi adakalanya, kata-kata yang baik-baik tidak menusuk ke dalam jiwa. Kalis atau kebal bagi sesetengah orang, itu istilahnya senang cerita. Contohnya, melihat kepada beberapa perbuatan yang ditularkan sendiri dalam media sosial oleh pelaku, konon mahu meraih popular dengan aksi-aksi bodoh itu, tetapi sebaliknya menerima kecaman hebat. Dan selepas itu tidak kurang pula ditahan oleh pihak berkuasa kerana perbuatan yang ditularkan adalah satu kesalahan atau jenayah.

Kenapa tak ada pasal, mencari pasal? Kan itu tidak cerdik namanya. Kenapa kebodohan selalu menjadi pilihan? Mungkin subjek-subjek diajar di sekolah tidak ada jawapannya.

Semalam, semasa saya memilih roti dan kek di Family Mart, Seksyen 9, Shah Alam, saya terdengar seseorang berkata: Ni aku nak penyek kek red velvet ni, kau uplah video, nanti satu Malaya kecam aku, popular dowhh!

Saya menoleh memandang budak itu dan tersenyum. Saya tahu dia hanya main-main. Dia cuma mengajuk aksi budak yang merosakkan makanan di Family Mart, Nilai, Negeri Sembilan, yang tular dalam media sosial baru-baru ini. Budak lelaki yang sudah pun ditahan polis itu, entah apa sebabnya melakukan perbuatan yang tidak cerdik itu. Adakah dia melakukan untuk dapat populariti, perhatian, dapat banyak likes dalam laman sosial atau apa? Hanya dia saja yang tahu jawapannya.

Memanglah dalam hidup ini kenapa mahu serius sangat? Nanti muka nampak tua daripada usia. Tetapi membuat lawak dan gurauan bodoh, ia bukan satu hiburan dan semua orang boleh ketawa berdekah-dekah macam pelaku. Bila ia sangat jelas hanya menimbulkan kemarahan ramai. Orang tak kenal, jadi kenal, orang tak benci, jatuh benci pula.

Sebelum ini pun banyak perbuatan bodoh yang dilakukan dan ditularkan sendiri oleh pelaku, contoh, menembak seekor monyet, memaki hamun pekerja restoran walhal kesalahan sendiri jelas nampak memotong barisan, dan macam-macam lagi.

Persoalan yang patut pelaku fikirkan, adakah video sebegini jatuh dalam kategori menghiburkan? Adakah ia memberi manfaat kepada orang yang menyaksikan atau setidak-tidaknya faedahnya pada diri sendiri. Kalau tidak, lebih baik dan selamat jangan buat atau untuk simpanan peribadi saja.

Jangan kerana dek `gila likes’ dan mahu menjadi instafamous atau popular dalam medial sosial lain, sanggup membodohkan diri dan dihukum kerana melakukan jenayah. Yang susah bukan saja diri sendiri, bagi remaja, ibu bapalah paling terkesan. Terpaksa ke balai polis, menjamin anak dan sebagainya. Kenapa mahu risaukan dan penatkan mereka dengan perbuatan sebegini?

Kalau mahu jadi popular dalam sosial, jadilah orang yang memberi motivasi seperti Muhammad Hafiz atau Slurpee Crank yang menyampaikan sesuatu kebaikan dalam bentuk video dalam akaun media sosialnya dengan gaya sendiri. Sejuklah hati mendengar kata-katanya. Anak muda ini juga berjinak-jinak dalam bidang perniagaan. Ini yang kita boleh buat contoh atau boleh jadi ikon anak muda.

Memang kita belajar daripada kesilapan, ada orang bila sudah terhantuk kepala, baru dia rasa sakit dan tidak mengulangi lagi. Tetapi ada juga jenis yang sudah terhantuk banyak kali pun, bengkak, berdarah dan bernanah, dia buat juga kerana tidak sayang akan kepala yang selalu terhantuk itu. Macam ini pun ada.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×