Angkara cemburu, wanita, anak lelaki nyaris maut dikelar - Utusan Malaysia

Angkara cemburu, wanita, anak lelaki nyaris maut dikelar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG – Angkara cemburu, seorang wanita berusia 61 dan anak lelakinya berusia 21 tahun nyaris maut selepas dikelar seorang lelaki di rumah mereka di Bandar Baru, Air Itam, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi itu, mangsa Oung Lay Eng dan anaknya, Chung Chang Qin dikelar dipercayai menggunakan dua bilah pisau oleh suspek yang juga teman lelaki wanita berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, sebelum kejadian, suspek yang berusia 61 tahun dikatakan menunggu mangsa di rumahnya kira-kira pukul 1.30 pagi dan berlaku pertengkaran sebaik sahaja mangsa tiba.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tambahnya, pergaduhan itu menjadi semakin serius sehingga suspek bertindak mengelar leher mangsa serta leher anak lelaki mangsa yang cuba meleraikan dan menyelamatkan ibunya.

Katanya, polis yang menerima laporan mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi kejadian dan menemukan dua bilah pisau yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian tersebut.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca kerana lelaki berkenaan cemburu selepas mangsa dikatakan mempunyai teman lelaki lain.

“Wanita itu dikatakan teman lelaki suspek dan mereka tinggal bersama di rumah itu namun bukan merupakan pasangan suami isteri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Che Zaimani, ekoran laporan kejadian itu, pihaknya menahan suspek kira-kira pukul 8.30 pagi tadi ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

Kata beliau, dalam pemeriksaan awal, suspek yang cedera pada bahagian kepala, muka dan perut itu mengaku terlibat dalam kejadian tersebut.

Bagaimanapun, ujarnya, siasatan lanjut kes itu di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kini masih diteruskan dan pihaknya belum merekodkan keterangan penuh daripada suspek dan mangsa memandangkan mereka masih mendapatkan rawatan lanjut di HPP. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini