JOHOR BAHRU – Seorang Inspektor polis berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana meminta dan menerima rasuah bernilai RM5,500 daripada seorang ceti haram dua tahun lalu.
Tertuduh, Lim Yen Jee, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat didakwa meminta suapan sebanyak RM3,000 daripada seorang lelaki, Lau Shie Qun.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Kampung Bindu Mukim Tongkang Pecah, dekat Batu Pahat pada 4 Oktober 2017 pukul 12.25 tengah malam.
Perbuatan itu dilakukan supaya tertuduh tidak mengambil tindakan terhadap perniagaan pemberi pinjaman wang tidak berlesen yang dijalankan Shie Qun.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memperoleh rasuah bernilai RM2,500 sebagai balasan bagi alasan sama.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Cafe Hotel Landmark pada 5 Oktober 2017 pukul 6.15 petang.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum Seksyen 24 Akta sama.
Pertuduhan kedua pula, Yen Jee didakwa mengikut Sekyen 17 (a) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsyahrina Raizan manakala tertuduh diwakili peguam Chuah Shyue Chien. – UTUSAN ONLINE











