KANGAR – Polis negeri ini akan mempertingkat kawalan di jeti Kuala Perlis yang menjadi antara transit orang ramai termasuk pelancong luar menaiki feri ke Pulau Langkawi, Kedah.

Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd. menegaskan, kawalan tersebut akan dilakukan secara berterusan bagi membanteras kemasukan dadah ke pulau peranginan berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius ancaman dadah di Langkawi dan Kuala Perlis menjadi antara kawasan transit keluar masuk pelancong ke pulau berkenaan yang diperlu diberi perhatian serius.
“Kami akan tingkatkan operasi, pemantauan dan kawalan daripada segi orang ramai keluar masuk ke Langkawi.
“Kita akan lakukan secara berterusan bukan lagi berkala untuk membanteras kemasukan dadah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mingguan Malaysia dalam laporan eksklusifnya hari ini mendedahkan mengenai dadah yang bebas dibawa masuk ke pulau peranginan terkenal itu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, jika masalah lambakan bahan terlarang itu tidak dibanteras segara, tidak mustahil pulau peranginan terkenal itu menjadi ‘gedung’ dadah suatu hari nanti.
Menurutnya, perkara tersebut juga telah disuarakan secara peribadi oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang begitu bimbang ancaman kegiatan dadah ini yang dilihat seolah-olah tidak terkawal.
“Perdana Menteri sendiri memberikan contoh di Pulau Langkawi, yang membayangkan seolah-olah tidak ada langsung kawalan oleh polis di sana.
“Dadah bebas dibawa keluar masuk tidak kira jenis apa sekalipun seperti ketamin dan syabu. Bukan itu sahaja, pantai Langkawi itu seperti pulau antarabangsa yang bebas dimasuki sesiapa sahaja tanpa ada satu bentuk kawalan yang drastik daripada pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM),” kata Hamid.- UTUSAN ONLINE











